Beberapa perkara perlu diperhalusi seperti prosedur, proses dan undang-undang bagi memudahkan perdagangan intra-ASEAN dapat dilaksanakan dengan lancar sekaligus memacu ekonomi rantau ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membandingkan ASEAN dengan beberapa kesatuan negara lain seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Kesatuan Amerika Utara (NAU) yang nilai dagangan mereka jauh lebih besar berbanding ASEAN.

“Antara perkara yang menjadi kebimbangan adalah perdagangan antara negara ASEAN yang masih kecil iaitu hanya 25 peratus daripada keseluruhan dagangan. Kalau dilihat kumpulan negara lain seperti EU dan NAU, nilai dagangan mereka amat besar sekitar 45 ke 50 peratus.

“Wujud keperluan untuk kita (ASEAN) adakan kerjasama khas untuk meningkatkan nilai dagangan 10 negara anggota ASEAN. Kita mempunyai idea untuk melaksanakannya seperti pelancongan,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia pasca Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 di sini hari ini.

Dr Mahathir pada masa sama berpandangan perlu ada penggantian import (import substitute) bagi produk-produk yang sering diimport dari luar rantau ini.

“Banyak barangan ini mungkin kita (Malaysia) juga keluarkan - iaitu penggantian import. Jadi itu salah satu cara negara memperkenalkan industri negara Mereka.

“Malaysia juga begitu. Bila import kereta, kita pasang di Malaysia, dan menjadi perniagaan yang besar, hingga satu tahap kita gantikan pula dengan kereta nasional.

“Saya bercakap pasal idea kereta ASEAN. Kita tak hentikan import kereta, tapi ASEAN patut ada kereta sendiri,” katanya.