Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang sedang disiasat polis atas kesalahan menghasut, kini sedang berada di Mekah untuk menunaikan Haji.

Turut dimaklumkan, teman sebilik beliau yang turut dikenali sebagai Dr Maza adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkongsi beberapa gambar bersama Khalid di laman Facebooknya hari ini berkata ia adalah satu pengalaman yang menarik untuk berbual dan bertukar-tukar pendapat dengan Khalid.

“Hari ini masuk hari ketiga saya di Mekah untuk menunaikan Haji. Kami dalam program Tetamu Haji Raja Salman bin Abdul Aziz.

“Teman sebilik saya ialah TS Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara. Menarik juga berbual dan bertukar-tukar pengalaman dengan beliau. Beliau dilantik sebagai ketua rombongan Malaysia.

“Saya pula sebagai Mufti Haji. Turut bersama program Datuk Mustafa Pengarah Imigresen Malaysia sebagai Timbalan Ketua. Doakan agar Allah menerima ibadah kami semua,” katanya.

Hari ini, ia dilaporkan bahawa polis sudah membuka kertas siasatan awal terhadap Mohd Asri di bawah Akta Hasutan.

Menurut laporan The Malaysian Insider, ia dibuka selepas merakamkan kenyataan wartawan yang menulis laporan mengenai satu kenyataannya yang di muat naik ke laman Facebook sejurus sebelum berlangsungnya perhimpunan Bersih 4, pada bulan lalu.

Kenyataan itu antara lain merujuk kepada peserta perhimpunan sebagai wira dan semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh pejuang pembebasan Argentina, Che Guevara tanpa merujuk kepada mana-mana perhimpunan.

Perhimpunan Bersih 4 yang berlangsung selama 32 jam bermula 29 Ogos lalu yang diisytiharkan haram oleh polis dianjurkan oleh kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 yang antara lain menuntut pilihan raya yang bersih dan adil serta sebuah kerajaan yang telus.

BACA: Mufti Perlis disiasat polis berhubung kenyataan Facebook