Kematian Muhammad Hairi Amsyar Abdul Rahman, 5 tahun, yang dipercayai didera bapa tirinya berpunca daripada hentakan kuat yang menyebabkan koyakan pada usus kecil.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, hentakan kuat itu dikesan di bahagian bawah belakang kanak-kanak itu.

Keputusan bedah siasat yang dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu menunjukkan terdapat koyakan pada usus kecil yang menyebabkan 'peritonitis' atau keradangan.

Dalam kejadian di Felda Tenang, Hulu Besut semalam, Muhammad Hairi Amsyar disahkan meninggal dunia selepas pemeriksaan dilakukan di Unit Kecemasan Hospital Besut pada 3.30 pagi.

Mangsa mengalami beberapa kesan lebam lama dan baru di badan.

Bapa tiri mangsa, berusia 38 tahun mendakwa kanak-kanak itu cedera akibat terjatuh ketika menaiki motosikal.

Pihak Hospital Besut yang meragui dakwaan lelaki itu kemudian nya membuat laporan di Balai Polis Jertih pada 5.30 pagi semalam.