"Allahyarham adalah seorang anak yang baik dan menjadi harapan keluarga."

Demikian luahan sayu ibu kepada pelajar tingkatan empat, Muhammad Saifullah Muhammad Hafiez, 16, yang maut dirempuh sebuah bas dalam kemalangan di Persimpangan Datuk Ismail Hashim, Bayan Lepas, lewat petang semalam.

Menurut Siti Hajar Ghazali, 38, Muhammad Saifullah yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik itu memiliki sifat berdikari dan tidak pernah menyusahkan keluarga.

Katanya, Muhammad Saifullah mula bekerja sambilan sebagai penghantar makanan sejak bulan Mei lalu demi untuk membantu keluarga.

Mereka sekeluarga amat terkejut apabila mendapat tahu Muhammad Saifullah terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawanya.

"Dia balik sekolah tidak ada perubahan apa-apa, macam biasa sahaja semua. Saya buat bihun sup dia tidak makan. Selalu dia keluar pergi kerja dia akan salam saya tetapi hari itu dia tidak salam, dia keluar macam tu sahaja, dia macam biasa sahaja.

"Kalau dia hendak apa pun dia tak akan kacau saya, dia memang macam itu dari sekolah rendah memang dia akan himpun duit dia sendiri kalau hendak apa pun. Tidak tahu hendak cakap dia macam mana tapi bagi saya dia seorang anak yang baik.. baik sangat," katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam kejadian jam 6.30 petang Khamis, Muhammad Saifullah yang ketika itu sedang menunggang motosikal untuk menghantar makanan dirempuh sebuah bas persiaran yang hilang kawalan.

Bas yang datang dari arah Persiaran Kelicap itu turut merempuh tiga lagi kenderaan lain menyebabkan dua lagi mangsa mengalami kecederaan.

Siasatan polis mendapati pemandu bas persiaran berusia 49 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine dan memandu dalam keadaan tidak memiliki lesen memandu bas.

Jenazah Muhammad Saifullah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bayan Lepas kira-kira jam 11 pagi.