Tokoh Wartawan Kebangsaan, Datuk A Kadir Jasin menggesa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak terus membisu dalam isu melibatkan syarikat dana pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dalam tulisan diblo gnya semalam, bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times itu turut mencabar anggota kabinet yang celik ekonomi supaya bercakap benar dalam isu sekitar syarikat pelaburan negara itu.

"Khusus mengenai Muhyiddin, beliau akan hilang kewibawaan dan akan mengecewakan ramai penyokongnya kalau beliau tidak terus tegas mengenai 1MDB, khasnya berkenaan penyelamatan (bail-out) syarikat itu," tulis beliau.

Pada 6 Mac lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, pengauditan telus, bebas dan menyeluruh terhadap akaun 1MDB penting untuk membersihkan nama syarikat tersebut daripada sebarang tuduhan penyelewengan dan salah laku.

Bernama melaporkan Muhyiddin sebagai berkata, audit forensik hendaklah dilaksana untuk menentukan tiada penyelewengan kewangan berlaku dalam urusniaga, seterusnya memulihkan reputasi dan mengembalikan keyakinan pelabur.

Katanya, audit itu perlu dibuat, ekoran tuduhan penyelewengan, termasuk usahasama dengan PetroSaudi, dibuat berhubung urusniaga pada 2009, yang tidak termasuk dalam tahun kewangan 2013 yang diaudit firma Deloitte.

Selain menggesa Muhyiddin supaya lebih tegas dalam isu 1MDB, Kadir juga dalam tulisannya turut menyentuh kenyataan yang dibuat Ketua UMNO Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee yang cuba menangkis dakwaan pembangkang bahawa kerajaan akan meminjamkan RM900 juta kepada syarikat pelaburan itu.

Syed Ali sebelum ini menyanggah kenyataan yang dibuat oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa 1MDB akan mendapat bantaun tambahan daraipada kerajaan.

Rafizi berkata beliau mendapat maklumat daripada salah seorang Ketua Bahagian UMNO yang menghadiri pertemuan tertutup bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Syed Ali yang berupa salah seorang penganjur perhimpunan perpaduan baju merah itu menyifatkan dakwaan Rafizi sebagai 'satu lagi cerita dongeng pembangkang'," tulis Kadir.

Katanya, sehari selepas Syed Ali menyifatkan dakwaan Rafizi itu sebagai 'satu lagi cerita dongeng pembangkang', Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengesahkan yang kerajaan telah menyediakan kredit tunggu sedia (stand-by credit) RM950 juta untuk bantu 1MDB.

"Syed Ali silap, Rafizi betul," kata Kadir dalam tulisannya itu.

"Kesimpulannya, apa yang Syed Ali Alhabshee tidak tahu dan Mohd Najib tidak beritahu, tidak semestinya Rafizi tidak tahu.

"Bila Rafizi tahu, ramai rakyat akan tahu," tulis beliau.