Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak akan bekerjasama dengan ahli politik UMNO secara ‘en bloc’.

Kata beliau, terdapat ahli politik UMNO yang masih menghadapi pertuduhan rasuah dan mereka berkemungkinan dapat dilepaskan daripada tuduhan tersebut sekiranya memasuki kerajaan campuran.

Menurut Dr Mahathir, walaupun beliau tidak boleh menerima hakikat ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin sanggup menerima apa-apa sahaja kerana Muhyiddin lebih 'mementingkan politik berbanding prinsip'.

“Saya enggan bekerjasama dengan orang yang masih berdepan perbicaraan dalam mahkamah jenayah,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu.

“Sekiranya mereka tidak bersalah, mungkin saya akan bekerjasama dengan mereka. Jika mereka didapati bersalah, saya tidak boleh bekerjasama dengan mereka.

BACA: Keluhuran undang-undang tidak lagi diamalkan - Dr Mahathir

“Sekiranya keputusan dibuat untuk menubuhkan kerajaan bersama UMNO, kerajaan itu akan melibatkan Datuk Seri Najib Razak dan lain-lain.


“Mahkamah mungkin akan berasa malu untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan. Kita pernah lihat perkara ini berlaku ketika bawah pentadbiran Najib,” katanya.

[LAPOR LANGSUNG] MY2020 Muhyiddin PM-8

BACA: Azmin ada agenda sendiri, Muhyiddin khianati saya - Dr Mahathir

Oleh itu, kata Dr Mahathir, "saya tidak boleh menerima hakikat tersebut. Namun, Muhyiddin sanggup menerima apa-apa sahaja. Katanya, politik lebih penting berbanding prinsip.”

Pada sidang media di Yayasan Albukhary di sini pagi ini, Dr Mahathir menegaskan beliau memiliki sokongan ahli Parlimen melebihi jumlah yang diterima Muhyiddin.

BACA: Agong enggan jumpa saya lagi - Tun Mahathir

Pagi ini, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Beliau dinamakan sebagai Perdana Menteri kelapan setelah Yang di-Pertuan Agong percaya Muhyiddin mungkin mendapat sokongan majoriti ahli dewan rakyat.