Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan hormat daripada empat Duta Besar dan seorang Pesuruhjaya Tinggi yang baru dilantik.

Menerusi akaun Facebook beliau, Muhyiddin menjelaskan perjumpaan selama 45 minit di Pejabat Perdana Menteri itu antara lain untuk berkongsi mengenai kepentingan wakil negara dalam membantu pemulihan semula negara.

Mereka antaranya Datuk Bala Chandran Tharman (Duta Besar ke Rusia), Abu Bakar Mamat (Chile), Sazali Mustafa Kamal (Turki), Zamshari Shaharan (Qatar) dan Haznah Md Hashim (Pesuruhjaya Tinggi ke Bangladesh).

"Dalam perjumpaan selama 45 minit itu, saya mengucapkan tahniah di atas perlantikan tersebut. Selain menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil negara, saya menekankan tentang peranan yang boleh mereka lakukan bagi membantu Kerajaan Persekutuan dalam usaha memulihkan semula ekonomi negara pasca COVID-19," katanya.

Turut ditekankan, mengenai kepentingan hubungan pelaburan dan perdagangan dua hala negara yang perlu ditingkatkan bagi menarik semula pelabur ke Malaysia.

Malah wakil negara ujarnya diminta untuk bekerja keras bagi meningkatkan hubungan dua hala yang memberi nilai tambah kepada pelaburan dan perdagangan seperti bidang pelancongan, Sains, pendidikan dan teknologi maklumat.

"Para perwakilan negara juga mempunyai tugas besar dalam membantu memulihkan kembali pembangunan negara. Saya menaruh keyakinan penuh kesemua duta dan Pesuruhjaya tinggi yang dilantik dapat melaksanakan tugas dengan baik untuk negara," ujar beliau lagi.