Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatnya dari negara jiran, Lee Hsien Loong atas kejayaannya memenangi pilihan raya umum Singapura yang berlangsung pada Jumaat.

Muhyiddin juga yakin dengan hubungan dua hala sedia ada antara kedua-dua negara akan terus berkembang di bawah kepimpinan Lee Hsien Loong yang memimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP).

“Berhubung isu-isu dua hala yang belum selesai, kami juga sepakat bahawa kedua-dua negara perlu terus positif dalam mencari penyelesaian dengan berpaksikan kepada kepentingan bersama,” jelas beliau dalam satu kenyataan di Facebook rasminya pada Ahad.

Jelas Muhyiddin lagi, sebagai jiran dan rakan kongsi terdekat di ASEAN, kerjasama berterusan antara Malaysia dan Singapura tentunya akan menguntungkan rakyat kedua-dua negara dari segi pertumbuhan ekonomi, keamanan dan kemakmuran.

Oleh itu, perbualan kedua-dua pemimpin negara itu turut membincangkan mengenai betapa pentingnya kesepakatan dalam menyelesaikan setiap masalah.

“Kami juga menekankan pentingnya setiap masalah dan isu diselesaikan secara damai, malah sepakat bahawa ia akan menjadi asas dan panduan dalam apa juga rundingan yang dilakukan pada masa kini dan akan datang.

“Ini bagi memelihara hubungan erat dan penting antara Malaysia dan Singapura yang telah sekian lama terjalin,” tambah beliau.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Pagoh itu turut menyentuh perbincangan yang berlangsung sebelum ini antara pegawai kedua-dua negara berhubung Laluan Hijau Dua Hala (RGL) dan Aturan Perjalanan Berkala (PCA) antara Malaysia dan Singapura.

“Saya menyatakan harapan Malaysia untuk melihat kedua-dua inisiatif yang difahamkan berada diperingkat akhir perbincangan itu dapat dimuktamadkan serta dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Kami juga berbincang tentang Projek Sistem Transit Rapid (RTS) membabitkan Johor Bahru-Singapura dan yakin perbincangan aktif yang sedang berlangsung antara pegawai kedua-dua negara akan dapat memuktamadkan perjanjian dua hala dalam masa terdekat,” tambahnya lagi.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu turut mengucapkan terima kasih kepada Singapura kerana bersetuju melanjutkan tempoh penggantungan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Tempoh itu dilanjutkan dari 1 Jun hingga 31 Disember 2020 tanpa sebarang kos dan penalti kepada Malaysia.

“Ini amat signifikan kepada cerminan hubungan baik antara kedua-dua negara,” jelas beliau sebelum mengakhiri perbualan dengan menyatakan komitmen untuk segera bertemu bagi membincangkan pelbagai perkara sebaik sahaja situasi pandemik COVID-19 bertambah baik.