Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa akan mengadakan pertemuan dengan ahli ulama esok (Khamis) di Putrajaya bagi membincangkan isu pelaksanaan penguatkuasaan khalwat di negara ini.

Jelasnya, kaedah serta pemantapan dari sudut pelaksanaan pencegahan khalwat itu perlu kerana ia seharusnya mengimbangi antara - menghalang ia berlaku di samping perlu menjaga aib dan memahami hak peribadi individu.

"Sekarang ini ia (prosedur operasi standard penguatkuasaan mencegah khalwat) ini tidak sempurna. Malah ada sesetengahnya menyalahgunakan kuasa ketika operasi. Kita juga perlu faham dan menjaga antara ruang umum dan ruang peribadi.

"Saya tidak ada statistik (penyalahgunaan kuasa dan kelemahan ketika SOP operasi) tapi banyak aduan diterima," katanya selepas menghadiri sesi dialog Rahmatan Lil A'lamin di Universiti Malaya pada Rabu.

Menyentuh mengenai isu membabitkan pesta arak October Fest yang dibenar untuk dianjurkan beliau berkata hal itu adalah terletak di bawah kuasa Menteri Wilayah Persekutuan dan bukan dalam bidang kuasanya.

Namun jelasnya sebagai menteri yang menjaga agama belia menasihatkan agar orang Islam tidak hadir semasa ia berlangsung.