Kehadiran teknologi generasi kelima (5G) amat mengujakan peminat teknologi di Malaysia.

Hampir 100 kes penggunaan dicatatkan dan 35 daripadanya dilaksanakan di Langkawi, sehingga meletakkan ia sebagai Tapak Warisan Dunia pertama yang dilengkapi dengan teknologi tercanggih.

Kesemua kes penggunaan yang dipamerkan, terutamanya di zon ujian beta bagi teknologi 5G di Langkawi, merupakan penggunaan asas yang dilihat dapat dikembangkan lagi.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Kamaruddin, beliau menganggap pelaksanaan teknologi ini memerlukan sokongan dan diterima guna sepenuhnya, terutama membabitkan orang muda.

“Semasa lawatan ke China tempoh hari, saya amat terkejut dengan kadar terima guna (adoption) teknologi 5G di sana.

“Jadi, saya harap orang muda mula berfikir tentang apakah aplikasi yang boleh membantu menyelesaikan masalah dalam komuniti.

“Tak boleh tunggu lama, sebab teknologi 5G ini sifatnya mempunyai lengahan (latency) yang rendah,” katanya pada sidang media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara TM bersama lapan agensi dan syarikat di Langkawi bagi menjayakan Projek Pembangunan 5G (5GDP).

Tambah beliau, TM melalui kempen #DigitalMalaysia telah berjaya memulakan pelaksanaan teknologi 5G dan peluang ini wajar dimanfaatkan sebaiknya.

Setakat ini, terdapat 11 kes penggunaan telah dilaksanakan di Langkawi yang dibangunkan TM.

Ia meliputi projek berkaitan bandar pintar, penyelesaian keselamatan serta paling penting, projek berkaitan pelancongan pintar.