Tidak sampai seminggu kejadian kereta seorang Timbalan Pendakwa Raya Mahkamah Majistret Baling disimbah cat, sekali lagi beliau ditimpa musibah apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sidam Kiri di Sungai Petani, pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah, dalam kejadian jam 12.25 tengah hari itu, kereta yang dipandu wanita berusia 26 tahun itu dilanggar sebuah lori yang cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal.

Ketika kejadian, kenderaan mangsa dari arah Padang Serai menuju ke Sungai Petani manakala lori terbabit dari arah bertentangan menghala ke Kulim.

Sebaik tiba di tempat kejadian, lori terbabit dipercayai mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang keluar dari lorong sebelah kiri jalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kereta mangsa.

Akibat perlanggaran, kereta mangsa hilang kawalan dan terbabas di sebelah kiri bahu jalan arah bertentangan.

Mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Sebelum ini, kereta mangsa disimbah cat putih ketika kenderaan itu diparkir di rumahnya. - Astro AWANI
Dalam kejadian sebelum ini, kereta mangsa yang diletakkan di kawasan pagar rumahnya disimbah cat kapur berwarna putih oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Mangsa pernah bertugas di Mahkamah Majistret Kulim selama dua bulan sebelum ditukarkan ke Baling kira-kira dua minggu lalu.