Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mungkin terasa hati apabila tidak bersalaman dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim semasa majlis rasmi istiadat pengebumian Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah di Pekan, Pahang pada Khamis.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, ia sekali gus bukan tanda Menteri Besar Kedah itu biadab mahupun berdendam dengan sesiapa.

"Janganlah hendak terasa hati dan mempertikaikan tindakan Mukhriz yang tidak bersalaman dengan TMJ dan Sultan Johor.

"Sekiranya saya jadi Mukhriz pun, kemungkinannya akan terasa hati sedemikian rupa.

"Inilah masalah dengan sesetengah orang yang sombong dan angkuh. Mereka boleh kurang ajar dengan orang tetapi orang lain kena hormat kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Video menunjukkan Mukhriz enggan menghulur tangan dan bersalaman dengan Sultan Johor dan terus bersalaman dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah yang berdiri di sebelah kiri Sultan Ibrahim berdurasi 14 saat turut tular dalam media sosial.

Beberapa pihak menyifatkan tindakan Mukhriz itu bukan sahaja biadab tetapi turut hilang etika keMelayuan apabila berbuat demikian.

BACA: TMJ kongsi video Mukhriz tidak bersalam dengan Sultan Johor

Dalam pada itu kata Khairuddin, tiada pihak boleh mempertikaikan tindakan Mukhriz pada hari berkenaan.

"Mana boleh begitu. Kalau kita tidak pandai menghormati orang lain, sudah pastilah orang lain pun tidak akan menghormati kita.

"Ini adalah resam manusia. Jangan mudah kecil hati tapi kita kena muhasabah diri terlebih dahulu.

"Moralnya, hidup dalam dunia ini kita kena sentiasa rendah diri serta tawaduk. Ikut resmi padi semakin berisi, semakin tunduk," jelasnya.