Undang-undang baharu mungkin akan diwujudkan sekiranya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata kajian lanjut berhubung cadangan pemansuhan akta itu masih dijalankan.
“Kementerian berpendirian bahawa kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan perlindungan institusi Diraja, kaum dan agama perlu terus dikekalkan dengan memindahkannya ke dalam undang-undang lain sedia ada seperti Kanun Keseksaan atau pun diwujudkan undang-undang baru sekiranya perlu.
“Ini bagi memastikan tiada kelompangan undang-undang berlaku sekiranya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN-Kota Tinggi) yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan apakah kerajaan berhasrat untuk meminda sebarang akta atau peraturan sedia ada kepada hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang menghina, mempersenda atau memainkan isu-isu agama untuk kepentingan tertentu.
Mohd Azis berkata, ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan KDN dalam memastikan keamanan di dalam negara terpelihara.
Beliau berkata, walaupun wujud pelbagai peruntukan undang-undang, namun masih wujud anasir dalam kalangan masyarakat yang mahu menggugat ketenteraman awam, terutama membabitkan isu berkaitan agama, bangsa dan institusi Diraja.
“Dalam hal ini, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membangkitkan isu sensitif, khususnya penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.
“Perbuatan tersebut jika tidak dibendung boleh mengganggu ketenteraman dan keharmonian yang dinikmati rakyat selama ini.
“Kementerian ini melalui penguatkuasaan polis akan mengambil tindakan segera dengan membuat tangkapan dan pendakwaan terhadap sebarang perlakuan tersebut,” katanya.
Azis berkata, bagi mengekang kegiatan itu agar tidak terus berleluasa, KDN akan meningkatkan program kesedaran kepada masyarakat supaya lebih peka dan sensitif terhadap sentimen perkauman, keagamaan dan institusi Diraja.
Beliau berkata, ia dibuat melalui kempen kesedaran bersama-sama orang awam, selain membuat kajian dan cadangan penambahbaikan ke atas akta sedia ada.