Murid Tahun 6 yang ditahan atas dakwaan merogol seorang kanak-kanak berusia empat tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis, pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, siasatan masih dijalankan dan belum lengkap sepenuhnya.

Menurutnya, polis meluaskan skop siasatan untuk mempastikan agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya sama ada kepada mangsa mahupun kepada suspek.

BACA: Bahana tonton video, murid darjah 6 ditahan rogol budak 4 tahun

“Semua sudut siasatan perlu dilihat sebelum kertas siasatan dimajukan kepada Timbalan Pendakwaraya.

“Kita perlu pastikan tiada suspek atau mangsa lain terlibat dalam kes ini.

"Oleh kerana siasatan yang menyeluruh inilah, siasatan kita jalankan pada peringkat awal di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Bagaimanapun, ujarnya, disebabkan suspek berusia 12 tahun, siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, siasatan boleh diteruskan ke atasnya kerana peruntukkan undang-undang di bawah Seksyen 113 Akta Keterangan iaitu anggapan budak berusia 13 tahun tidak berupaya melakukan rogol.

“Sekiranya ada cukup bukti dan keterangan, kita akan mencadangkan diambil tindakan samada di bawah undang undang Kanun Keseksaan ataupun Akta Kanak-kanak 2001 dan ia bergantung kepada siapa suspek sebenar yang kita kenal pasti,” katanya lagi.