Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang mengesahkan jumlah mangsa yang dijangkiti virus Influenza A di negeri itu meningkat ke 53 kes berbanding 19 kes hari sebelumnya.

Pengarahnya, Abdul Rashid Abdul Samad, berkata walaupun ada pertambahan jumlah mangsa yang dijangkiti, namun tiada sekolah mahupun kelas terbaru yang ditutup.

Beliau berkata, peningkatan jumlah terbaru itu membabitkan 45 murid sekolah rendah dan sembilan pelajar sekolah menengah di negeri itu.

Abdul Rashid berkata, pertambahan kes itu melibatkan 17 buah sekolah rendah dan tujuh buah sekolah menengah dengan daerah Seberang Perai Utara mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 27 kes.

"Untuk makluman bersama, setakat dapatan tengah hari tadi, 9 haribulan, kita dapati kes meningkat ke 53 kes di seluruh Pulau Pinang dan pecahan di sebelah utara 27 pelajar, di Seberang Perai Tengah ada enam, timur laut ada 10, barat daya (2) dan di Seberang Perai Selatan ada lapan kes telah didiagnos oleh Pejabat Kesihatan Daerah," kata beliau sambil menasihatkan murid yang dijangkiti virus berkenaan agar tidak ke sekolah.

Setakat ini, Abdul Rashid berkata, pihak JPN hanya menutup dua kelas Tahun 2 di Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina (SJKC) Li Hwa, Butterworth, selama 11 hari.

Mengulas lanjut, katanya pihak JPN dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri juga telah mengambil langkah proaktif melakukan langkah pencegahan bagi mengelakkan merebaknya virus influenza dengan mengarahkan semua guru dan murid menjaga kebersihan diri masing-masing.

Selain itu, guru dan murid yang mempunyai gejala klinikal seperti batuk, demam, sakit kepala dan sakit tekak dinasihatkan memakai penutup hidung bagi mengelakkan influenza merebak.

Dalam masa sama, ibu bapa juga diingatkan supaya menjaga kebersihan persekitaran dan anak mereka dan segera mendapatkan rawatan sekiranya terdapat simptom batuk, sakit tekak sakit kepala dan demam berpanjangan.

"Pihak JPN telah keluarkan surat untuk ambil langkah proaktif dan kita telah edarkan mask (topeng) untuk pelajar guna di kawasan sekolah dibantu oleh Jabatan Kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat JPN di Bukit Gambir, George Town pada Khamis

Pada Rabu dua kelas Tahun 2 di Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina (SJKC) Li Hwa, Butterworth, Pulau Pinang ditutup selama 11 hari bermula hari ini selepas 19 muridnya dijangkiti virus Influenza A.

Siasatan mendapati 19 murid berkenaan tidak hadir ke sekolah kerana dijangkiti Influenza A selain terdapat murid mengalami simptom demam, batuk dan selsema.