Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah menegaskan sekolah yang disahkan positif COVID-19 tidak perlu ditutup.

Sebaliknya, jelas menterinya, Datuk Frankie Poon Ming, para pelajar di dalam kelas yang terlibat sahaja akan dikenakan arahan kuarantin selama 14 hari.

“Tidak, sekolah tidak kena tutup. Satu kelas yang terlibat hanya perlu dikuarantin sahaja. Selepas itu, kesemua mereka akan dikenakan ujian saringan COVID-19.

“Kemudian itu, mereka akan dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing dan saya minta kerjasama dari ibu bapa masing-masing supaya mereka mengenakan arahan kuarantin terhadap anak mereka.

“Jangan bagi mereka keluar dalam masa 14 hari. Sekolah tidak akan ditutup, hanya mereka yang berkaitan dengan murid dalam kelas itu sahaja,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI bagi mengesahkan maklumat tersebut.

Beliau pada masa menasihatkan agar kesemua pihak dapat memberikan kerjasama agar penularan wabak di negeri itu tidak menular secara berleluasa.

“Jaga penjarakan sosial sekiranya tidak mahu kembali ke fasa PKP semula. Kita perlu bekerja sebagai satu pasukan, supaya kita boleh bersama memerangi wabak COVID-19,” tambah Frankie lagi.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan seorang murid Tahun Dua di sebuah daerah di Inanam, Kota Kinabalu, disahkan positif COVID-19.

Dilaporkan, murid terbabit telah dikesan dijangkiti virus berkenaan selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan.

BACA: Pelajar sekolah rendah disahkan positif COVID-19