Tutup

Murid tahun enam maut terjerlus lantai bas berlubang

Murid tahun enam maut terjerlus lantai bas berlubang
Pegawai PPD Machang, Arazmi Seman (dua dari kiri) bersama keluarga mangsa di Unit Forensik Hospital Tengku Anis Pasir Puteh hari ini. -Foto Sinar Harian
PASIR PUTEH: Seorang murid darjah enam maut apabila terjatuh dari bas yang sedang bergerak dalam kejadian di Kampung Kandis, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi tadi, mangsa, Wan Mohammed Adam Mohd Suria, 12 meninggal dunia selepas parah digilis tayar bas.

Difahamkan mangsa dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang bersama 30 lagi murid dalam perjalanan ke Bukit Keluang, Terengganu untuk menghadiri Bengkel Bahasa Inggeris selama dua hari anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang dan Empower.

Bas yang dinaiki Wan Muhammed Adam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian kemalangan itu yang berlaku di KM 12 Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik di Kampung Kandis di sini.
"Mengikut siasatan awal, murid berkenaan melompat ke bahagian hadapan pintu masuk bas dan terus terjatuh ke bahagian bawah bas disebabkan bahagian lantai bas sudah reput," katanya ketika dihubungi.

Bahagian lantai bas yang sudah reput.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pihak polis menasihatkan pengusaha bas termasuk pengusaha bas sekolah supaya menitikberatkan soal keselamatan penumpang dan pelajar.

"Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata sehingga meragut nyawa seperti kejadian yang berlaku hari ini," katanya.