Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dijangkakan akan pulang semula ke negeri ini sebaik menerima rawatan di The Clementine Churchill Hospital London, di England.

Setiausaha politiknya, Mohd Joh Wid dalam satu catatan yang dimuat naik di laman Facebook beliau pada pagi ini, mendedahkan Musa sudah membuat keputusan akan kembali ke tanah air meskipun tindakan itu bertentangan dengan nasihat doktor pakar.

"Namun, sebelum itu beliau perlu dirujuk ke hospital Mount Elizabeth di Singapura untuk menerima rawatan susulan. Hospital ini ialah hospital yang memegang rekod perubatan beliau sejak 30 tahun lalu.

"Di hospital ini baru saya mengetahui bahawa beliau pernah melakukan beberapa prosedur rawatan pembedahan pintasan jantung dan perlu terus melakukan pemeriksaan susulan bagi memastikan keadaannya stabil.

"Perkara ini saya nyatakan untuk menjelaskan bahawa beliau bukan melarikan diri, beliau sebenarnya memerlukan rawatan," katanya.

Terdahulu, Musa perlu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Sungai Sibuga sebelum 11 Sept ini atau mengosongkan kerusi itu.

Speaker DUN Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali berkata arahan berkenaan seiring Perlembagaan Negeri yang memberi tempoh tiga bulan selepas sidang DUN pertama bagi wakil rakyat dipilih untuk mengangkat sumpah.

DUN Sabah pertama kali bersidang pada 11 Jun selepas Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun semalam mendedahkan Musa akan pulang ke negara dalam masa terdekat.

Beliau berharap Musa akan pulang segera dengan sukarela bagi pihaknya melengkapkan kertas siasatan.

Musa sebelum ini dikehendaki untuk membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan dakwaan ugutan jenayah.

Beliau juga dilaporkan tidak berada di negara ini sejak 16 Mei lalu.