Mustahilkah pembangunan Kampung Baru?

Mustahilkah pembangunan Kampung Baru?
Kemegahan KLCC sedikit sebanyak memberi anjakan kepada Kampung Baru untuk turut sama mengikuti arus pembangunan.
KUALA LUMPUR: Kampung Baru Kuala Lumpur mempunyai sejarah tersendiri dalam lipatan sejarah negara. Di sini terpahat kisah perjuangan orang Melayu di Kuala Lumpur.

Menjadi lokasi penempatan terbesar orang Melayu di ibu kota, Kampung Baru membuka tirainya pada tahun 1899.

Dikurniakan oleh Sultan Selangor ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman) kepada orang Melayu di atas desakan mereka kepada pentadbir British untuk mewujudkan perkampungan Melayu di Kuala Lumpur.

Tanah Kampung Baru diwartakan pada 12 Januari 1900 dan kemudiannya ditadbir melalui enakmen Malay Agricultural Settlement (MAS) 1950.

Kampung Baru meliputi tujuh buah kampung. Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.

Pelbagai cadangan pembangunan Kampung Baru sebelum ini sudah dinyatakan termasuk dari kerajaan terdahulu.

Terbaharu, Kementerian Wilayah Persekutuan memerlukan dana sehingga RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di kampung itu untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan bersepadu masyarakat Melayu di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, berkata dana sebanyak itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok oleh pemilik tanah bersama pemaju.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Syed Badli Syed Osman berkata, halangan paling besar untuk pembangunan tapak itu adalah status tanah itu sendiri.

"Untuk jumlah tepat keseluruhan pemilik tanah Kampung Baru, jumlah dalam pangkalan data PKB adalah 5,874 pemilik sah berdaftar untuk 1,344 lot ini.

"Menariknya dari 5,874 hanya 3,018 yang hanya dapat dikesan di dalam pangkalan data yang kita tahu kedudukannya di mana. Sementara kira-kira 2,800 lagi tidak dapat dikesan pemiliknya," katanya.





Arus permodenan
Era permodenan sedikit demi sedikit mula menjajah ke kawasan penempatan tua orang melayu di Kuala Lumpur.

Arus pembangunan mula mengambil tempat di sekitar kawasan Kampung Baru. Bangunan pencakar langit dan mercu tanda mula berdiri megah.

Menara Berkembar KLCC yang menjadi kebanggaan negara dibina agak hampir dengan lokasi penempatan di Kampung Baru.

Kemegahannya sedikit sebanyak memberi anjakan kepada kawasan penempatan tua ini untuk turut sama mengikuti arus pembangunan.

Stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Kampung Baru mula beroperasi pada 1 Jun 1999. Dengan kemudahan pengangkutan serba canggih ini, Kampong Bharu semakin menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Terkenal dengan jolokan syurga makanan, Kampung Baru kerap dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat untuk menjamu selera.

Syed Badli berkata, faktor-faktor itu menyebabkan isu harga tanah menjadi bualan utama apabila soal pembangunan disebut.

"Kerajaan memperhalusi semua aspek, melihat pembangunan sedia ada dan kena datang dengan harga munasabah," ujarnya.



Kata sepakat

Imej Kampong Bharu semakin hari semakin perlu diperbaiki.

Rumah-rumah usang mula diganti dengan bangunan-bangunan baru hasil kesungguhan para pewaris membangunkan tanah mereka.

Penempatan-penempatan usang yang tidak lagi relevan dengan arus permodenan, mula diganti dengan projek-projek mega yang secara tidak langsung mengangkat imej Kampong Bharu.

Projek M101 Skywheel dan Saloma Link adalah di antara projek mega yang akan merubah imej Kampong Bharu.

Perlahan demi perlahan pemilik dan pewaris tanah warisan di Kampong Bharu mula terasak untuk menyertai arus pembangunan.

Jelas Syed Badli, peranan persatuan di Kampong Bharu penting untuk memastikan sepakat demi pembangunan.

Namun ujarnya, kata akhir adalah daripada pemilik tanah itu sendiri.


Peranan PPKB

PPKB memulakan operasi secara efektif untuk mengawal selia dan merancang pembangunan di Kampong Bharu.

Hasilnya lebih banyak pembangunan samada kecil dan besar mula berdiri menghiasi pemandangan di Kampong Bharu.

Perparitan diperkemaskan, jalan-jalan usang diperbaiki, siar kaki yang lebih selesa dinaik taraf dan landskap dipercantikkan, menjadi antara peranan penting yang dimainkan oleh PPKB.

Namun di samping semua itu, Syed Badli menegaskan, terdapat tanggungjawab yang jauh lebih mencabar iaitu mencari dan menjejaki para pemilik dan pewaris tanah-tanah di Kampong Bharu.

Tegasnya, banyak perbezaan sudah dilakukan kerajaan hari ini terhadap PPKB berbanding dahulu.


Katanya lagi, tugasan itu memerlukan kesabaran dan mengambil masa yang sangat panjang diperlukan untuk menjejaki setiap daripada mereka.

"Cabaran yang paling getir adalah menyelesaikan status tanah setiap lot. Pelbagai ragam terpaksa dihadapi dan pelbagai karenah terpaksa dituruti.

"Namun tugas hakiki ini perlu diuruskan dengan kemas kerana jika terdapat satu status tanah tidak berjaya diselesaikan, maka tidak akan terkabullah impian untuk melihat Kampong Bharu dibangunkan," jelasnya.

Masa depan

Tawaran-tawaran yang sesuai dan menguntungkan demi menjamin masa depan pemilik Kampong Bharu tentunya akan menjadi perkiraan para pewaris untuk menyertai plan pembangunan.

Pengambilan secara paksa dan tawaran dengan harga yang tidak sesuai akan menimbulkan penentangan yang maha hebat dari kalangan pewaris.

Kebanyakan pewaris mahu menyertai pembangunan namun dalam masa sama mereka tidak sanggup kehilangan hak keatas tanah warisan mereka.

Jalan terbaik adalah negosiasi dengan tawaran pelaburan yang memberikan keuntungan jangka panjang seperti menawarkan sejumlah harga dengan kadar berpatutan dalam masa sama memberikan hak unit pembangunan kepada pewaris.


Sesungguhnya penempatan tua orang Melayu ini tidak pernah sunyi dari kisah kebangkitan rakyat.

Ia menyimpan pelbagai sejarah tersendiri termasuk peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Di sinilah semangat kebangkitan Melayu disatukan selain peristiwa berdarah yang menyimpan seribu kedukaan mendalam sekali gus menjadi ingatan dan sebutan sepanjang hayat.

Tidak berhenti di situ, kisah kebangkitan rakyat turut mengambil tempat di Kampong Bharu pada tahun 1998 setelah Timbalan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat.

Pada masa itu, Masjid Jamek Kampong Bharu menjadi tempat berkumpulnya rakyat marhain setiap minggu bagi menentang tirani zalim.

Kini pembangunannya dinantikan tanpa melupakan sekelumit pun sejarah dan perit getir Melayu membina kegemilangan di tengah kota.

Tag: Anwar Ibrahim, Sultan Selangor, LRT, Kampong Bharu, Melayu


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.