Kapal persiaran MV Diamond Princess, yang dikuarantin di Yokohama, Jepun akibat pandemik COVID-19, kini sedang dalam pelayaran ke Malaysia untuk menambah stok barangan dan mengisi minyak.

Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datuk Chong Sin Woon berkata kapal persiaran itu mempunyai sijil dan dokumen sebagai bukti yang ia telah menjalani proses sanitasi menyeluruh dan mendapat pengesahan kesihatan daripada Pihak Berkuasa Kuarantin Jepun iaitu tiada kes COVID-19 di dalam kapal itu.

"Pada 17 Mei, portal berita dalam talian Japan Times melaporkan MV Diamond Princess sedang dalam pelayaran ke Malaysia. Ia dijadual berlabuh di Boustead Cruise Centre (BCC) pada 26 atau 27 Mei dan akan meninggalkan pelabuhan dalam masa sehari atau dua hari. Ejen kapal persiaran itu telah menghantar permohonan ke Jabatan Kesihatan (Kementerian Kesihatan) dan Jabatan Imigresen pada 12 Mei untuk berlabuh di BCC bagi tujuan menambah stok barangan dan mengisi minyak.

"Permohonan mereka telah dirujuk kepada Jabatan Kesihatan Pelabuhan Klang untuk kelulusan dan pelepasan mengikut prosedur operasi standard (SOP). Kami tidak mempunyai maklumat di mana pelabuhan seterusnya kapal persiaran itu selepas Pelabuhan Klang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chong berkata semua kru dan penumpang MV Diamond Princess sebelum ini telah turun di Yokohama dan ketika ini kapal persiaran itu mempunyai 172 kru baharu dan tanpa penumpang.