Penglibatan para pemegang taruh dalam merangka Visi Pasca APEC 2020 amat penting dalam memastikan kerjasama ekonomi itu kekal dinamik, inovatif dan relevan pada masa akan datang.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob berkata peranan dalam pembentukan visi tersebut bukan hanya digalas oleh Malaysia, tetapi juga semua 21 anggota ekonomi APEC serta para pemegang taruh.

“Untuk benar-benar mencapai visi yang lebih kohesif dan mampan, kita perlu membuat pilihan baharu.

“Hanya dengan menangani punca kepada permasalahan terbesar yang kita hadapi pada masa kini, termasuk memberdaya semua sektor untuk menyelesaikannya, kita akan mencapai penyelesaian yang akan membawa kepada perubahan jangka panjang.

“Ini membawa kita kepada MSD hari ini bersama para moderator dan panelis untuk merungkai bidang-bidang penting buat ekonomi APEC,” katanya.

Delegasi dari 21 anggota ekonomi APEC termasuk para pemegang taruh mengemukakan input mereka dalam merangka Visi Pasca APEC 2020. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Dialog Pelbagai Pemegang Taruh (MSD) di Putrajaya hari ini.

Ujarnya, segala input, pandangan serta cadangan amat penting dalam pelaksanaan agenda inklusif dan mampan buat semua anggota ekonomi.

“Tanggungjawab penghasilan visi ini tidak hanya terletak kepada Malaysia, tetapi juga melibatkan semua anggota ekonomi serta anda, para pemegang taruh.

“Anda amat penting dalam proses ini supaya APEC boleh mewujudkan visi sejagat kepada rantau ini sekaligus mengangkat kepelbagaian latar, pengalaman dan kepakaran, memastikan APEC kekal dinamik, inovatif dan relevan pada masa akan datang,” katanya.

Malah, beliau percaya, menerusi penglibatan bersama, Malaysia selaku pengerusi tahun ini mampu untuk mengetuai usaha pembangunan visi yang komprehensif sekaligus memastikan APEC kekal relevan.

Tambahnya, menerusi inisiatif tersebut, APEC akan menjadi peneraju dalam pelaksanaan agenda inklusif dan mampan bagi pembangunan semua anggota ekonomi.