Yayasan MyAQSA (MyAQSA) pada Selasa mengecam sekeras-kerasnya perasmian "pilgrimage road” oleh rejim Israel di kejiranan Silwan, Baitulmuqqadis Timur pada Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif MyAQSA Dr Noorazman Mohd Samsuddin berkata perasmian itu secara jelas menunjukkan pelanggaran dan pencabulan undang-undang antarabangsa, peraturan dan resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) oleh kerajaan Amerika Syarikat dan rejim haram Israel.

"Ini adalah satu lagi siri Jenayah Perang yang dilakukan oleh rejim haram Israel ke atas negara Palestin dan rakyatnya.

"Peristiwa ini menunjukkan Amerika Syarikat secara jelas bersekongkol dengan gerakan puak-puak pelampau Yahudi, yang mahu merampas kawasan Palestin dan Masjidil Aqsa secara haram," katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Perasmian itu dilakukan secara bersama oleh Duta Amerika Syarikat ke Israel David Friedman dan wakil Utusan Khas Amerika Syarikat bagi Timur Tengah Jason Greenblatt.

Beliau berkata perasmian itu juga jelas menunjukkan kerajaan pimpinan Donald Trump bersama dengan rejim haram Israel secara rasmi melakukan pembohongan, pemalsuan sejarah dan penyelewengan fakta-fakta kenegaraan iaitu proses “Pengyahudian Baitulmaqdis”

Katanya pembinaan laluan ibadah Israel (Pilgrimage Road) dan terowong haram itu juga secara langsung menjadi ancaman besar yang boleh membawa kepada keruntuhan sebahagian struktur Masjidil Aqsa.

"MyAQSA menyeru kepada seluruh masyarakat dunia tanpa mengira batasan agama, bangsa dan negara supaya bersatu serta sama-sama menyuarakan bantahan dan kecaman, kerana pencabulan ini sekiranya tidak disekat, akan membawa kepada perampasan Masjidil Aqsa secara total bersama dengan keruntuhannya," katanya.

Pilgrimage Road adalah sebahagian kawasan arkeologi di kejiranan Silwan, Baitulmaqdis Timur. Ahli arkeologi Israel mendakwa laluan itu digunakan jemaah Yahudi ke Temple Mount lebih 2,000 tahun lalu.

-- BERNAMA