Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menyifatkan tindakan kerajaan Amerika Syarikat memindahkan kedutaannya di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis sebagai bertentangan dengan persetujuan antarabangsa terhadap status wilayah tersebut.

Menurut Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor, keputusan itu hanya meningkatkan ketegangan dan mengundang malapetaka lebih besar ke atas penduduk Palestin.

"Resolusi ES‑10/L.22 Perhimpunan Agung PBB pada 21 Disember 2017 menyaksikan 128 buah negara (termasuk Malaysia) mengambil pendirian tegas menolak pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Amerika Syarikat sepertimana yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump pada akhir tahun lalu," menurutnya.

Dalam perkembangan sama, MyCARE menggesa pihak kerajaan Pakatan Harapan segera melaksanakan janji manifesto.

"PH yang baharu mendapat mandat disaran membela nasib rakyat Palestin daripada kekejaman Zionis Israel melalui saluran diplomatik yang sesuai," jelasnya.

Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor berkata demikian menerusi satu kenyataan kepada media pada Selasa.

Sementara itu, MyCARE menyeru AS menghentikan sokongan membuta tuli kepada rejim Zionis Israel dan mengambil sikap lebih kritikal ke atas jenayah dan pencabulan undang-undang antarabangsa yang dilakukan Israel.

'"Pihak antarabangsa perlu mengenakan tekanan kepada rejim Zionis Israel agar menghentikan pembunuhan ke atas rakyat Palestin, menghormati undang-undang antarabangsa dan mengembalikan hak rakyat Palestin," katanya.

Pada Isnin, sekurang-kurangnya 53 orang dilaporkan terkorban dan lebih 1,900 orang cedera akibat kekejaman Zionis Israel.

Kenyataan Rasmi MyCare

Kenyataan Rasmi MyCare