Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengenalpasti sebarang elemen anti-persaingan yang mungkin berlaku di dalam pasaran telur ayam tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail, selain isu pencatutan yang mungkin menjadi penyebab kepada kenaikan harga telur ayam, MyCC akan melihat kepada perlakuan anti persaingan yang diamalkan perusahaan.

Ia termasuk kartel penetapan harga, pembahagian kawasan persaingan dan perbuatan menghadkan pengeluaran secara sengaja.

"MyCC akan menggunakan segala kuasanya yang ada di bawah Akta Persaingan 2010 untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan yang relevan.

"MyCC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana perusahaan yang terlibat dalam sebarang kegiatan kartel demi memastikan kesejahteraan serta kepentingan pengguna di Malaysia kekal terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Kita juga akan mengambil kira harga harian dan jumlah pengeluaran telur ayam dalam menilai perkara ini,” tambah Iskandar.

Pada masa sama, mereka juga akan melihat dengan teliti aktiviti mengeksport telur ayam ke pasaran luar negara yang semakin meningkat kebelakangan ini.

BACA: SST: Menteri akui harga telur gred B dan C naik

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini berkata, KPDNHEP akan menyiasat sama ada aktiviti kartel telah menyebabkan harga telur meningkat secara konsisten pada setiap minggu sejak beberapa bulan lepas.

Saifuddin berkata KPDNHEP menerima banyak aduan daripada pengguna mengenai kenaikan harga telur terutamanya sejak pertengahan November, antaranya di Pulau Pinang, Sarawak dan Putrajaya.

"Pada minggu pertama November, harga telur gred A di Putrajaya naik daripada RM3.98 (10 biji) kepada RM5.11. Minggu ketiga turun pula kepada RM4.04. Lepas naik mendadak, boleh pula turun.

"Harganya selepas itu kekal kira-kira RM4," katanya sambil menambah, antara alasan yang diberikan pengeluar dan pemborong termasuk keadaan cuaca, perbezaan nilai Ringgit, kos makanan ayam mahal dan peningkatan kos utiliti penternak ayam.

Saifuddin berkata KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan di peringkat pengeluaran, pengedaran dan pemborong di seluruh negara sejak 7 Disember bagi mengesan punca peningkatan tersebut berlaku.