Ramai anak muda Malaysia bercita-cita untuk melakukan sesuatu kepada masyarakat dunia, tetapi ramai yang tidak tahu platform yang paling sesuai untuk mereka.

Untuk itu, Kementerian Belia dan Sukan menerusi Program MyCorps membuka ruang kepada 45 anak muda untuk menabur bakti dalam misi terbaharu MyCorps ke Timur Tengah.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, program ini bukan sahaja melatih mereka untuk menjadi sukarelawan, tetapi menjadi pemimpin sukarelawan.

"Semestinya menerusi program ini, persepsi anak muda ini akan berubah terutamanya cara mereka melihat Malaysia dalam pandangan dunia.

"Saya selalu menekankan kepada peserta MyCorps bahawa tugas mereka bukan setakat ketika misi semata-mata, tetapi ia perlu dibawa ke mana sahaja mereka pergi dalam mengubah masyarakat sekeliling secara positif," katanya dalam sidang media selepas Sesi Meet & Greet peserta MyCorps ke Timur Tengah di sini hari ini.

Jelas beliau lagi, program MyCorps ini dibuat di luar negara sebagai pendedahan kepada belia agar lebih bersedia dengan persekitaran antarabangsa dan mempunyai pandangan jauh untuk menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.

Misi MyCorps ke Timur Tengah akan bermula pada 5 Disember ini di mana peserta akan mula berlepas mengikut kumpulan masing-masing ke negara yang mempunyai kepadatan pelarian Syria paling tinggi iaitu Turki, Jordan dan Lubnan bermula 1 Disember ini.

Rakan pelaksana yang membuat koordinasi di lapangan untuk MyCorps ke Timur Tengah ialah Malaysia Aid & Humanitarian Relief (MAHAR) dan juga Malaysia Life Line for Syria (MLLFS).