Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memberi amaran kepada MyEG Services Bhd supaya mematuhi keputusan Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) pada 28 Dis, 2018 supaya syarikat itu membayar denda harian sebanyak RM7,500.

Penalti itu kini berjumlah RM9.46 juta.

MyCC berkata, selepas penolakan permohonan Semakan Kehakiman MyEG oleh Mahkamah Tinggi pada 22 Jan, 2019, suruhanjaya itu telah mengarahkan peguamnya menuntut pematuhan perintah seperti yang dinyatakan dalam perenggan 58 (iii) dan 58 (iv) keputusan CAT serta bayaran penalti harian.

"Penalti harian sebanyak RM7,500 akan terus dikumpul sehingga MyEG patuh ke atas arahan yang dikenakan oleh CAT dalam perenggan 58 Keputusan CAT, dengan jumlah terkumpul penalti kewangan setakat ini sebanyak RM9.46 juta," kata MyCC dalam satu kenyataan hari ini.

MyCC sebagai pihak berkuasa persaingan utama yang bertanggungjawab menjaga proses persaingan di Malaysia bersedia mengambil semua tindakan yang dianggap perlu bagi memastikan MyEG akur dengan arahan terbabit.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan keputusan MyCC terhadap MyEG mengikut Seksyen 10(2)(d)(iii) Akta Persaingan 2010 kerana penyalahgunaan kedudukan dominannya.

Semasa menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan MyEG, hakim menyatakan persetujuannya dengan keputusan CAT sekali gus mengesahkan keputusan MyCC bahawa MyEG telah menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan mengenakan syarat berbeza bagi transaksi yang sama berkaitan dengan pembelian insurans untuk memperbaharui Pas Lawatan (Kerja Sementara) (PLKS) bagi pekerja asing.

MyEG kemudiannya dilaporkan berkata akan merayu terhadap penalti yang dikenakan MyCC itu.