Tutup

MYSINBAD perkasa anggota koperasi seluruh negara

MYSINBAD perkasa anggota koperasi seluruh negara
Mohd Redzuan (kanan) melancarkan portal MYSINBAD milik Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad disaksikan Nordin (tiga dari kanan) dan Yahya (empat dari kanan) - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Portal e-dagang, MYSINBAD dibangunkan bagi memperkasa anggota koperasi serta memasarkan lebih 1,000 produk koperasi di bawah satu rangkaian hub mini logistik komprehensif yang beroperasi di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad, Suli Koid berkata, ia bakal dimanfaatkan lebih 14,000 koperasi seluruh  negara untuk memasarkan produk mereka terutama barangan keperluan harian.
“Kami mengambil langkah membangunkan portal ini sebagai menyambut seruan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk membangunkan stor digital koperasi.

“Ia turut menerima sokongan teknikal pintar dari syarikat pembangun portal dan aplikasi, One Link Card Holding Berhad serta dikawal selia oleh SKM.
“Portal ini, dari koperasi untuk koperasi, adalah percuma  khusus bagi koperasi dalam memasarkan produk mereka sekali gus dapat memanfaatkan lebih 6.5 juta anggota koperasi selain pengguna lain mendapatkan barangan keperluan tanpa melalui orang tengah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

MYSINBAD dibangunkan Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad dan dikawal selia SKM
dilancarkan sempena perasmian Countdown Hala Tuju Koperasi Selepas 100 Tahun pada Sabtu.

Pelancaran disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mewakili Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Tamarind Square, Cyberjaya.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh dan Penasihat Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad, Datuk Seri Yahya Hussin.

Dalam pada itu kata Suli, kewujudan kemudahan itu sekali gus dapat mengurangkan kos sara hidup sejajar hasrat kerajaan terutama dalam membantu golongan B40.

Terdapat enam kategori bisnes koperasi iaitu perkhidmatan kewangan; pemborongan dan peruncitan; pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan; pertanian serta industri asas tani; perladangan dan pembangunan hartanah.

Jelasnya lagi, enam kategori bisnes koperasi adalah asas utama keperluan di negara ini.

“MYSINBAD akan menjadi platform penjualan runcit terus kepada pengguna.

“Harga yang ditawarkan berkisar pada 10 sehingga 25 peratus lebih rendah daripada harga pasaran memandangkan ia diperoleh terus daripada koperasi tanpa membabitkan orang tengah.

“Usaha ini adalah manifestasi kepada perancangan SKM yang bakal menyambut ulang tahun ke-100 pada 2022 dan ke arah digitalisasi koperasi selain keluar dari kepompong tradisional koperasi atau dari desa ke alam maya,” katanya.

Tambahnya, MYSINBAD akan menjadikan Tamarind Square di bandar pintar Cyberjaya sebagai ibu pejabat sejajar dengan pengisytiharan pusat komersil itu sebagai Bandar Koop atau Coop City oleh Dr Mahathir.

“Pemahaman tradisional terhadap koperasi adalah peminjam wang walhal banyak  koperasi yang mengusahakan pelbagai bisnes dan perkhidmatan serta melalui  pengwujudan MYSINBAD akan dapat mempromosikan penawaran perkhidmatan dan bisnes mereka.

“Manakala dengan jumlah lebih 14,000 koperasi di seluruh negara, kita merencanakan ia akan dapat mengurangkan kos logistik apabila  kita dapat berkerjasama dengan mereka untuk mewujudkan hub mini logistik di hampir setiap ceruk negara ini,” jelasnya.

Suli berkata, selain promosi, MYSINBAD akan turut mewujudkan pelbagai pekerjaan bagi anggota koperasi antaranya pembungkusan, percetakan dan penghantaran.

Selain itu, MYSINBAD yang menggunakan dwi bahasa akan turut dapat digunakan koperasi untuk menembusi pasaran global dengan perancangan untuk mengadakan kerjasama dengan gerakan koperasi di luar negara.

Orang ramai boleh melayari portal e-dagang ini di www.mysinbad.com atau memuat turun aplikasi telefon pintar di Google Play dan AppStore.

Bagi pengguna yang mendaftar bagi membuat pembelian di portal ini, MYSINBAD kini menawarkan baucar  rebat elektronik RM100 untuk digunakan bagi 10  pembelian sehingga 31 Oktober ini.

Koperasi yang berminat untuk memasarkan produk mereka di MYSINBAD boleh menghubungi wakil Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad, Mohd Aminuddin Mohd Amir di talian 0163231342 atau emel m.aminuddin@kooptk.com bagi mendapatkan penempatan produk secara percuma.


Tag: Mahathir Mohamad, MYSINBAD, Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, One Link Card Holding Berhad, Countdown Hala Tuju Koperasi, Menteri Pembangunan Usahawan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.