Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) memberi penekanan kepada enam bidang keutamaan yang cenderung kepada rasuah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bidang-bidang tersebut adalah perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, tadbir urus politik, tadbir urus korporat, pentadbiran sektor awam serta bidang perundangan dan kehakiman.

"Enam bidang utama ini sekiranya tidak ditangani, masalah rasuah dalam negara akan menjadi lebih parah daripada apa yang telah kita lihat sebelum ini.

"Kerana itu kita menekankan pelaksanaan enam strategi untuk enam bidang keutamaan ini, pertama sekali ialah mempertingkatkan keberkesanan dan ketelusan dalam perolehan kerajaan; kedua, menginstitusikan kredibiliti agensi penguatkuasaan undang-undang; ketiga, memperkukuh akauntabiliti dan integriti politik.

"Keempat, memupuk tadbir urus baik dalam entiti korporat; kelima, memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan dan yang keenam, mempertingkatkan kredibiliti sistem perundangan dan kehakiman," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Selasa.

Pelaksanaan pelan ini dibangunkan oleh Pusat Governas, Integriti dan Anti Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain.

Perlaksanaan pelan ini dibuat berdasarkan 22 strategi yang akan diberi keutamaan bagi enam sektor utama.

Pelan ini mengandungi 115 inisiatif anti rasuah merangkumi enam sektor utama iaitu sektor politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat.

Dalam pada itu kata Dr Mahathir, NACP bukan tindakan berlandaskan dendam atau benci terhadap perasuah-perasuah yang lalu.

Jelasnya, ia tindakan yang diambil kerana kerosakan kepada negara dahulu selain amaran hukuman kepada sesiapa yang merancang untuk melakukan rasuah.

"Kerana itu, jika ada yang mengatakan bahawa Kerajaan hari ini terlalu fokus kepada salah-laku Kerajaan yang lalu, Pelan Antirasuah Nasional ini adalah gagasan masa depan. Yang perlu berhadapan dengan pelan ini adalah ahli-ahli pentadbiran dari Kerajaan sekarang.

"Kita amat berharap pelan ini di dalam lima tahun akan datang akan berupaya mengekang budaya rasuah di dalam negara. Kita tahu ini bukan satu usaha yang akan tercapai dengan mudah dan cepat. Tetapi kita harus mulakan dengan meletakkan asas-asas dasar yang akan membentuk budaya dan sistem yang berteraskan governans dan integriti.

"Pelan ini disediakan melalui satu proses yang mengambil kira aspirasi dan harapan rakyat Malaysia dalam perjalanan memerangi rasuah. Ianya bersandarkan bukti-bukti empirikal daripada hasil analisis kajian dan data tangkapan serta laporan audit yang terkini. Ianya juga mengambil semangat yang terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan dan laporan daripada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (Institutional Reforms Committee--IRC)," ujarnya.

Majlis pelancaran hari ini turut menyaksikan penyerahan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 oleh Dr Mahathir kepada 22 penerima daripada pelbagai latar belakang antaranya wakil menteri Pakatan Harapan (PH), wakil agensi kerajaan dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).