MALAYSIA
NADMA bersiap siaga hadapi banjir, sedia bantu JKM

Salah seorang pemuda menyelamatkan diri dengan duduk di atas bumbung kereta selepas terperangkap dalam banjir di Kampung Alor Wan Syed, Marang. - Gambar Astro AWANI.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan menghadapi banjir serta membantu menyalurkan bantuan asas yang tidak mencukupi.
Timbalan Ketua Operasi Pasca Bencana NADMA, Datuk Yusof Wazir berkata, pihaknya akan membantu menyalurkan bekalan sekiranya bantuan asas dan keperluan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mencukupi untuk mangsa yang terjejas.
Menurut beliau, para pegawai NADMA juga telah digerakkan ke negeri-negeri di pantai timur Semenanjung sebagai proses membantu mangsa banjir.
"Kita membantu sekiranya JKM negeri mengalami masalah kekurangan (shortage). Jika berlaku kekurangan bekalan asas seperti makanan dan keperluan diri kita akan bantu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata JKM memperuntukkan bekalan makanan dan keperluan banjir berjumlah RM300,000 dalam berdepan bencana itu di Kelantan.
Kata beliau, bekalan makanan di depoh simpanan itu mampu menampung keperluan di pusat pemindahan sementara di negeri itu untuk tempoh tujuh hari.
Beliau berkata demikian ketika menggulungkan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet 2018) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Rakyat semalam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami