Seorang pemandu lori muatan sejuk beku maut apabila kenderaan yang dipandu merempuh belakang sebuah lori 14 tan di Kilometer 373 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, pada Selasa.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, dalam kejadian itu, mangsa yang dikenal pasti sebagai Mohd Tomari Mohd Jaka, 37, tersepit di tempat pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pihak kami menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 1.10 pagi pada Selasa sebelum anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River bergegas ke lokasi.

"Setibanya jentera bersama anggota di lokasi kejadian mendapati kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori 2 tan (muatan sejuk beku) telah melanggar bahagian belakang lori 14 tan (muatan barang makanan).

"Ia mengakibatkan pemandu lori 2 tan, iaitu seorang lelaki berbangsa Melayu telah tersepit dan maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, seterusnya Pegawai Bomba Kanan II, Shaijul Amri Malik yang mengetuai operasi itu mengarahkan anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan "rescue hidraulic cutter".

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat pada jam 2.12 pagi.