Nahas 8 kenderaan: Mangsa maut dikenal pasti, treler hilang kawalan dipercayai punca

Nahas 8 kenderaan: Mangsa maut dikenal pasti, treler hilang kawalan dipercayai punca
Polis telah mengenal pasti mangsa yang terlibat dalam nahas tujuh kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini, malam tadi. -Foto JBPM
TAPAH: Polis telah mengenal pasti mangsa yang terlibat dalam nahas lapan kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail mengesahkan mangsa yang maut sebagai Beh Xiu Zhung, 5, yang merupakan penumpang SUV Pajero dan Salwati Yaakob, 28, iaitu penumpang hadapan Perodua Myvi.

“Wanita yang maut itu merupakan isteri kepada pemandu Perodua Myvi berkenaan. Mayat kedua-dua mangsa maut telah dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

“Kesemua mangsa berusia tujuh hingga 59 tahun itu dibawa mendapatkan rawatan di hospital sama,” kata Wan Azharuddin.

Kemalangan pada Selasa malam itu dipercayai berlaku apabila sebuah treler dengan muatan kertas hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah kereta Perodua Axia yang dinaiki dua lelaki sebelum melanggar bahagian kiri Honda Accord.

“Treler tersebut turut bergesel dengan treler muatan gula sebelum melanggar Mitsubishi Pajero yang dinaiki empat sekeluarga.

"Impak kuat dari pelanggaran itu menyebabkan Pajero tersebut tersepit antara treler berkenaan dan sebuah lori kurier menyebabkan kanak-kanak berusia lima tahun maut,” katanya.

Menurutnya, hentaman kuat tersebut menyebabkan lori kurier tersebut bergerak lalu melanggar belakang Perodua Myvi yang dinaiki sepasang suami isteri dan rakan mereka.

BACA: 2 maut dalam nahas 8 kenderaan di Tapah

Menurut Wan Azharuddin, susulan kejadian, pemandu treler berusia 41 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu berkenaan ditahan untuk menjalani ujian air kencing dan sampel darah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia," kata Wan Azharuddin.

Kemalangan kira-kira jam 10.50 malam pada Selasa di Kilometer 317.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan ini turut melibatkan enam kenderaan‬ lain.

Keseluruhan mangsa yang terlibat ialah 14 orang iaitu sembilan lelaki, tiga perempuan dan dua kanak-kanak.