Persatuan pengusaha-pengusaha Stesyen Minyak Malaysia (PDAM) pada Sabtu mendesak kerajaan menaikkan kadar komisen petrol dan diesel bagi menampung kos operasi yang meningkat.

Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz menegaskan margin keuntungan yang rendah disebabkan pelaksanaan harga apungan mingguan bakal menyebabkan operasi stesen minyak terjejas.

Jelasnya, kos operasi yang tinggi termasuk kenaikan kadar gaji minimum menjadi antara penyumbang tekanan kepada operator stesen minyak.

“Sekarang ini, komisen kami adalah 12.19 sen untuk petrol dan 7 sen untuk diesel (seliter), tetapi kami tidak dapat sepenuhnya kerana ada yang ditolak sebagai yuran lesen operator kepada syarikat minyak antara 75 sen hingga 3 sen.

“Kami minta kerajaan menaikkan kepada 15 sen setiap liter. Kalau tengok di serata dunia, seperti di India, mereka naik 55 peratus kerana kenaikan gaji. Kami sudah 10 tahun tak naik,” katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.


Menurutnya, jika ia gagal dilaksanakan, operator stesen minyak hanya mampu menjalankan operasi selama 18 jam sehari.

“Sekiranya tidak naikkan komisen, kami tiada pilihan. Kami dibenarkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 untuk beroperasi 18 jam dan kami terpaksa, saya rasa semua sekali akan kembali kepada 18 jam sehari,” kata Khairul Annuar.

Beliau sebelum itu mengadakan perjumpaan bersama dengan ahli-ahli PDAM daripada 3,500 stesen minyak seluruh negara bagi membincangkan dengan lebih lanjut hasil keputusan kerajaan mengapungkan dan menetapkan harga produk petroleum secara mingguan.

Pada program itu juga, mereka turut menandatangani satu memorandum secara bertulis dan dalam talian untuk diserahkan kepada perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, esok.

Tambahnya, sekiranya permintaan itu gagal dilaksanakan, lebih banyak stesen minyak akan terjejas selain menghentikan operasi.

Mengikut rekod, hampir 100 stesen minyak seluruh negara ditutup pada tahun lepas terutama selepas pelaksanaan sistem sama oleh Kerajaan sebelum ini.