Tutup

Najib arah saya pecat Gani Patail - Ali Hamsa

Najib arah saya pecat Gani Patail - Ali Hamsa
Ali berkata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) dipecat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dipecat dan tidak dibenarkan membawa sebarang dokumen keluar daripada pejabatnya.

Ali berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Ali dalam keterangannya berkata, terdapat dua peringkat untuk memecat Gani. Pertama, surat perlu dihantar kepada Yang Di Pertuan Agong memaklumkan pemecatan itu disusuli dengan surat daripada Najib kepada Gani.

“Saya dipanggil oleh perdana menteri untuk tandatangan surat itu dan berikannya kepada Gani dan beritahunya supaya kosongkan jawatan, dan tidak ambil sebarang dokumen keluar dari pejabat,” katanya.
BACA: Muhyiddin dipecat kerana persoal 1MDB - Ali Hamsa

BACA: Ali Hamsa dakwa Najib tidak puashati laporan audit 1MDB

Beliau memberi keterangan dalam kes Najib didakwa menggunakan kedudukannya meminda Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Arul Kanda diwakili peguam Datuk N Sivananthan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Najib dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM dan jika disabitkan kesalahan beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000.

Arul Kanda juga boleh dikenakan hukuman yang sama jika didapati bersalah oleh mahkamah.


Tag: Najib Razak, Arul Kanda, Arul Kanda Kandasamy, Abdul Gani Patail, Muhammad Shafee Abdullah, 1Malaysia Development Berhad, 1MDB, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Peguam Negara



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.