Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyifatkan keputusan kes SRC International terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah satu kemenangan besar buat rakyat Malaysia.

Justeru, PH merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam proses pengadilan itu termasuk bekas Peguam Negara.

"Keputusan ini adalah satu kemenangan besar buat rakyat Malaysia. Proses pengadilan ini pasti tidak akan bermula sekiranya rakyat tidak bangkit untuk memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan dan mengalahkan Barisan Nasional pada PRU14.

"Malah bila disoroti sejarah isu ini, masalah urus tadbir 1MDB dibangkitkan kali pertama di Parlimen oleh YB DS Anwar Ibrahim pada 2011," kata kenyataan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Selasa.

BACA: LAPOR LANGSUNG Najib bersalah atas tujuh pertuduhan

BACA: Najib bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International

Majlis Presiden PH juga menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk meneliti penghakiman yang telah dibuat hari ini.

"Majlis Presiden berpendirian bahawa reformasi institusi menyeluruh perlu dilaksana untuk memastikan iklim politik yang memungkinkan kebobrokan dan kerosakan besar yang berlaku pada zaman pentadbiran Barisan Nasional tidak berulang lagi.

"Ini hanya boleh dilakukan dengan pengembalian mandat rakyat ke tempatnya," ujarnya.

Najib hari ini didapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.‬

‪Keputusan disampaikan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Najib didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).