Tutup

Najib dapat penangguhan, bicara SRC tidak bermula esok

Najib dapat penangguhan, bicara SRC tidak bermula esok
Keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas tujuh tuduhan berhubung dana SRC International Sdn Bhd tidak akan bermula esok.

Ini berikutan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga menunggu keputusan rayuannya berhubung penarikan balik sijil pemindahan tujuh dakwaannya oleh pendakwa raya.

BACA: Kes baharu pengubahan wang haram Najib ke Mahkamah Tinggi


Hakim Datuk Ahmadi Asnawi yang mempengerusikan panel berkata mahkamah mengambil perhatian bahawa hujah pendakwa raya bahawa tuduhan terhadap Najib adalah serius sifatnya dan dikatakan dilakukan oleh beliau dalam kapasitinya sebagai bekas Perdana Menteri Malaysia.

Beliau berkata mahkamah juga memperakui bahawa hujah pendakwa raya bahawa kes itu telah menarik minat antarabangsa dan awam, oleh itu permulaan perbicaraan haruslah mengikut jadual.
"Kami berpuas hati bahawa pemohon (Najib) telah membuktikan keadaan khusus untuk penangguhan diberikan," kata beliau.

Hakim Ahmadi berkata jika perintah penangguhan tidak diberikan dan perbicaraan diteruskan, ini akan menyebabkan prosiding itu tidak sah yang akan menyebabkan pembaziran masa dan wang awam.

"Kami juga berpendapat, kami tidak menemui bukti taktik bertangguh sebagaimana didakwa oleh pendakwa raya," kata beliau.

Dua hakim lagi ialah Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Datuk Yew Jen Kie.

Najib memohon penangguhan perbicaraan berhubung tujuh tuduhan berkaitan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Beliau telah memfail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam membenarkan permohonan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menarik balik sijil bagi pemindahan tujuh tuduhan berkait dengan SRC International yang dihadapi Najib dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dan perkara itu belum didengar oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 4 Julai tahun lepas, Anggota Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu dikenakan tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa untuk sogokan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lepas, beliau dikenakan lagi tuduhan di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama dari dana yang sama.

Thomas berkata beliau akan menulis kepada Presiden Mahkamah Rayuan untuk memohon tarikh pendengaran awal bagi rayuan itu.

Peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terlebih dulu berhujah bahawa terdapat keadaan yang khusus bagi mahkamah membenarkan penangguhan, jika tidak perbicaraan akan jadi tidak sah sekiranya mahkamah rayuan membuat keputusan memihak kepada rayuan anak guamnya.

Thomas membalas dengan menyatakan bahawa keseriusan kesalahan harus diambil kira, dan menambah terdapat taktik bertangguh yang dirancang oleh pemohon.

Beliau berkata pihak pendakwaan telah mengemukakan 25 jilid dokumen mengandungi 5,000 halaman dan 26 kenyataan saksi kepada pihak pembela.

Di luar mahkamah, peguam Datuk V. Sithambaram yang dilantik membantu pasukan pendakwaan memberitahu pemberita bahawa perbicaraan itu akan tertangguh sedikit tetapi ini kemudiannya akan kembali mengikut jadual.

-- BERNAMA

Tag: Najib Razak, SRC International, Perdana Menteri, mahkamah, Mahkamah Rayuan, Malaysia


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.