Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan bukti sumbangan almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz as-Saud pada 2011 yang didakwa bertujuan membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sumbangan itu dakwa Najib bertujuan bagi memastikan UMNO dan BN mampu bertahan, sekiranya berlaku kebangkitan rakyat ala Arab Spring di Malaysia.

Katanya, Almarhum Raja Abdullah sangat bimbang ketika itu dan bertindak membiayai pemimpin dan kerajaan negara Islam dengan sejumlah wang yang banyak bagi mengekalkan kestabilan.


"Baginda juga mempunyai kebimbangan yang sama selepas mendapat tahu kemungkinan berlaku 'Malaysia Spring' pada ketika itu kerana Malaysia juga negara Islam biarpun bukan berada di Timur Tengah atau Afrika.

"Lantaran kebimbangan dan hubungan akrab kami, pada awal 2011, baginda berjanji untuk turut menyediakan dana kepada saya dan parti bagi kegunaan di Malaysia.

"Seperti kain kiswah dan kuota haji tambahan, sumbangan ini juga tidak mahu dihebahkan. Terdapat beberapa orang saksi pada masa itu ketika janji ini disampaikan," kata Najib dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa jumlah pembiayaan yang dijanjikan untuk beberapa tahun itu adalah lebih rendah daripada negara jiran Arab Saudi yang terjejas teruk daripada Arab Spring.


"Memandangkan saya bukan lagi Perdana Menteri dan Raja Abdullah telah mangkat (Al-Fatihah), saya rasa adalah bersesuaian untuk saya dedahkan dokumen berikut bagi membersihkan nama saya dari pelbagai tuduhan dan fitnah," katanya lagi.

Menurut Najib, sumbangan Raja Abdullah itu tidak dihebohkan sebelum ini kerana baginda meminta agar ia tidak diwarwarkan, sama seperti hadiah kain kelambu Kaabah dan tambahan kuota haji khas sebanyak 20,000 jemaah.

"Saya bersama peguam mengambil masa yang agak lama untuk memperolehi dokumen ini daripada bank namun kami berjaya mendapatkan sebahagian besar darinya. Dokumen berikut adalah bagi sumbangan tahun 2011 sahaja. Pihak berkuasa dan bank ada dokumen yang sama," kata Najib.

Jelas Najib, Putera Abdulaziz as-Saud menulis kepadanya pada 1 Februari 2011 memberitahu bahawa Arab Saudi akan menyediakan AS$100 juta atau RM415 juta kepadanya bagi tahun itu.

Bekas Presiden UMNO itu juga mendakwa sebahagian besar dana yang beliau terima digunakan bagi tujuan politik BN.

Antara tujuan politik itu antaranya termasuk dana kepada UMNO Johor untuk membeli van, yang baru-baru ini disita oleh pihak berkuasa untuk siasatan berhubung duit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Najib, bukti surat dari Arab Saudi itu ada dilampirkan bersama dana yang dipindah masuk ke akaun peribadinya di Ambank bagi tempoh beberapa tahun.

"Sama ada BNM (Bank Negara Malaysia) mahupun bank berkenaan tidak pernah mempersoal atau menyatakan kebimbangan terhadap sumbangan ini, kerana ia turut dilampirkan dengan surat pengesahan," katanya.

Najib juga mahu menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai sumbangan yang diterimanya termasuk isu RM2.6 billion pada status FB akan datang atau melalui temuramah dengan media.