Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihatkan agar tidak hadir pada Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) di Putrajaya pada Jumaat selepas menimbang aspek penerimaan daripada peserta serta faktor keselamatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low berkata, berikutan beberapa isu semasa negara yang melibatkan Perdana Menteri ketika ini, kehadirannya mungkin mendatangkan persepsi negatif terhadap beliau.

Sebaliknya Paul berkata, beliau sebagai menteri yang menjaga portfolio integriti dan anti-rasuah akan menggantikan tempat Najib.

"Saya menjangka mungkin persidangan ini akan bertukar menjadi tegang berdasarkan pengalaman saya sebelum ini sebagai bekas Presiden Transparency International Malaysia, jadi saya tahu. Tetapi apa yang saya lihat hari ini, hadirin nampak agak sopan (sivil) .

"Jadi saya sebagai menteri telah menasihatkan beliau tentang situasi yang mungkin timbul jika beliau hadirkan diri. Atas faktor keselamatan dan situasi berkenaan saya berkata saya boleh mengambil tempat beliau."

"Itu sebabnya saya akan menyampaikan ucaptama pada persidangan ini," katanya.

Beliau juga menegaskan tidak menerima sebarang arahan daripada mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri berkenaan kandungan ucaptamanya.

"Saya hanya berucap tentang apa saya fikir sesuai sebagai menteri bertanggungjawab bagi portfolio ini." katanya dalam satu sesi soal jawab dalam bengkel pada persidangan IACC pada Jumaat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).


Najib pada awalnya dijadual menyampaikan ucaptama dan merasmikan persidangan berkenaan pada jumaat. Tempatnya bagaimanapun digantikan oleh Paul.

Selain merasmikan persidangan berkenaan, beliau juga berucap sebagai salah seorang panel pada bengkel yang berlangsung dalam persidangan itu.

Persidangan IACC merupakan persidangan peringkat antarabangsa yang digariskan khusus untuk menentang dan memerangi rasuah di setiap negara yang terlibat.

Lebih 1000 peserta daripada 130 negara hadir bagi berkongsi ilmu dan maklumat untuk dijadikan panduan dalam membasmi rasuah di negara yang terlibat.