Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal didakwa sekali lagi esok.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan, berkata Najib akan didakwa jam 3 petang esok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

"Najib akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara," memetik kenyataan itu.

Beliau sebelum itu ditahan pada jam 4.13 petang di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

SPRM juga akan bekerjasama dengan polis bagi merakam percakapan Najib sebelum beliau dibawa ke mahkamah esok bagi membantu siasatan pihak polis mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

BACA: Najib hadir ke SPRM, dijangka didakwa lagi

Astro AWANI difahamkan penahanan beliau berkaitan dengan kes dana RM2.6 bilion yang berkait dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, mereka yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.