Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan tujuh amanat untuk memastikan perpaduan bangsa Melayu bagi melangkah maju dan berdikari menjelang tibanya abad ke-21.

Amanat itu antara lain menyentuh keperluan bangsa Melayu untuk memperjuangkan kepentingan agama Islam, mempertahankan institusi beraja dan keistimewaan orang Melayu.

Selain menegakkan maqasid syariah dengan bersikap sederhana; menjaga nilai-nilai murni serta menjaga institusi keluarga.

Turut ditekankan ialah keperluan melatih orang Melayu menjadi bangsa berpengetahuan dan mengukuhkan ekonomi mereka.

Najib menegaskan sekiranya orang Melayu berpegang kepada amanat ini, ia akan menjamin mereka muncul sebagai bangsa yang dihormati oleh semua kaum dan dunia selain mampu menjadi bangsa berdikari.

“Kita akan terus menegakkan maqasid syariah dengan mengamalkan nilai-nilai murni disamping mengekalkan sikap bersederhana atau wasatiyah”

"Anak kunci dan asas masa depan kita tidak lari daripada satu prinsip yang amat unggul iaitu kesatuan dan perpaduan melayu mesti dijadikan komitmen yang tidak berbelah bahagi,” katanya pada Perhimpunan Perpaduan Melayu yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil malam tadi.

"Amanat ini bagi mewakili semua pemimpin Melayu dan hendaklah dijadikan peringatan kekal dan ia juga ingatan untuk kita semua.

"Selagi ada bulan dan bintang serta selagi darah Melayu mengalir di tubuh kita, amanat ini menjadi wadah dan maslahah umat ini dan kita akan terus perjuangkan sampai bila-bila," tambahnya.

Perhimpunan Perpaduan Melayu berlangsung hasil inisiatif Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dewan Bahasa dan Pustaka, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dan Biro Tatanegara (BTN).

Antara yang turut menghadiri perhimpunan itu ialah naib presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan dan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar.

Dalam perhimpunan itu, Najib turut menyaksikan penyerahan memorandum persefahaman penubuhan Koperasi Majlis Perundingan Melayu Berhad oleh Amanie Corporate Advisor Sdn. Bhd., kepada MPM.

Beliau turut menerima memorandum cadangan bagi penubuhan Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Islam daripada anggota jawatankuasa MPM, Tan Sri Mohamed Yusof Mohamed Noor.