Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad berhenti daripada terus menyalurkan maklumat yang tidak tepat dan menghasut rakyat.

Menurutnya, banyak kenyataan dikeluarkan bekas perdana menteri itu sejak kebelakangan ini "palsu dan berbaur fitnah."

"Ini Tun 'U-turn' Mahathir, dia banyak buat kenyataan palsu. Satu fitnah besar sebenarnya kepada kerajaan Johor kononnya kita nak jual kewarganegaraan kepada orang China," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan program Jom Bantu Rakyat, di Desa Pandan di sini, hari ini, mengulas dakwaan Dr Mahathir berhubung pembangunan Forest City di Johor Bahru.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

Perdana menteri menafikan dakwaan Dr Mahathir kononnya seramai 700,000 warga China akan dibawa masuk ke Johor di bawah projek pembangunan itu dan diberi kewarganegaraan.

Beliau berkata rakyat China yang negara mereka sudah menjadi sebuah kuasa ekonomi dunia dan memiliki pendapatan tinggi tidak akan berhasrat untuk menjadi warga negara Malaysia.

Selain itu, Najib turut membidas pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berhubung kenyataannya semalam tentang hasrat DAP yang mahukan jawatan timbalan perdana menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya akan datang.

"22 tahun dia (Dr Mahathir) kutuk Lim Kit Siang rasis, anti-Islam, anti-melayu, tiba-tiba jawatan timbalan perdana menteri dia hendak beri pada Kit Siang.

"Di manakah letaknya akal dia? Kalau itu hakikatnya, maka kesannya amatlah besar.

"Kalau begitu keadaannya, kita tidak boleh harap masa depan kita. Janganlah kerana politik kita buat kenyataan ataupun dealing (sepakatan) seperti ini yang ada implikasi besar kepada kita semua," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Najib berkata warga China yang menyertai program 'Malaysia My Second Home' juga tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia walaupun mereka menetap di negara ini.

Beliau berkata apa bezanya rakyat negara lain yang membeli rumah di Kuala Lumpur dengan rakyat China yang membeli rumah di Johor.

"Adakah kalau orang Amerika Syarikat atau Jepun beli rumah di Kuala Lumpur itu baik, tetapi orang China beli rumah di Johor itu tidak baik?" soal perdana menteri.

Najib turut menjelaskan mengenai lawatan rasminya ke China baru-baru ini yang bertujuan untuk menarik pelaburan ke negara ini.

Beliau mengambil contoh kejayaan Dubai (UAE) yang dahulunya adalah padang pasir, namun kini telah menjadi sebuah bandar metropolis yang hebat dan rakyatnya mendapat pendapatan tinggi hasil daripada pelaburan luar dan pembangunan tanah.

"Kalau dasar Dubai berjaya, kita juga boleh bangunkan tanah kita," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan mendakwa warga China yang ke Johor itu akan diberi kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Najib berkata, rakyat tidak perlu memikirkan mengenai perkara yang dibangkitkan Dr Mahathir itu kerana yang diperlukan mereka adalah sebuah kerajaan yang boleh membawa negara ke hadapan.

"Saya dan rakan-rakan dalam kerajaan mahu membawa Malaysia ke mercu kejayaan sebagai antara 20 negara terbaik di dunia dalam masa 30 tahun lagi dan ini boleh dilakukan jika kita tidak terbawa-bawa dengan terlalu banyak politiking.

"Kalau kita tidak menghasut rakyat, kalau kita tidak mengelirukan rakyat dan kalau rakyat tahu hala tuju dan rakyat sokong, Insya-Allah kita akan sampai ke destinasi yang kita impikan dan hasratkan," katanya.

Dalam ucapannya, perdana menteri turut mengumumkan kelulusan pembangunan semula projek perumahan rakyat termiskin (PPR) Sri Perlis 1 dan 2 di Keramat di sini yang akan dilaksanakan secara berfasa.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah peruntukan yang diluluskan dan menyerahkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menentukan butirannya.