Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap lebih banyak program dan pusat Permata diwujudkan di seluruh negara.

Jelasnya, langkah itu bagi melahirkan modal insan yang cemerlang pada masa akan datang.

"Kita sepatutnya tanya diri kita mana haluan kita. Bagaimana pula dengan masa depan kita? Masa depan itu adalah mengenai kita. Justeru,saya secara peribadi berharap lebih banyak program dan pusat PERMATA dilaksanakan di seluruh negara," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Permata 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Najib pada masa sama mahu semua pihak menyokong program berkenaan demi masa depan anak muda sebagai pelapis negara.

"Bukan sahaja mengharapkan kerajaan, saya juga harap lebih banyak sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) memberi sumbangan dengan memainkan peranan masing-masing dalam usaha merealisasikan matlamat Permata," tambahnya.

Tegasnya, Permata akan memastikan tiada kanak-kanak yang akan ketinggalan di belakang.

Sebaliknya, dengan bakat yang ada pada kanak-kanak berkenaan akan memastikan kejayaannya yang turut memberi manfaat kepada individu lain.

"Semua kanak-kanak akan ada peluang untuk berjaya melalui bakat yang mereka ada. Namun sama ada dia akan berjaya atau tidak, bukan kerana dia tidak diberi peluang, sebaliknya kerana kemahuannya untuk berjaya," katanya lagi