Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara Tan Sri Irwan Serigar Abdullah akan didakwa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur esok.

Mereka akan didakwa berhubung siasatan beberapa kes pecah amanah melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia pada jam 7.30 pagi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan perkara tersebut dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

"SPRM telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Mohd. Najib Abdul Razak dan Mohd. Irwan Serigar Abdullah di mahkamah esok.

"Mereka juga telah dipanggil di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 2 petang ini bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan tersebut," kata kenyataan tersebut.

Terdahulu Najib tiba di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 1.53 tengahari manakala Irwan Serigar pula pada pukul 3.25 petang.

Lebih 30 pengamal media dalam dan luar negara berkumpul di situ sejak pukul 1 petang bagi mendapatkan maklumat mengenai kes berkenaan.

Semalam, beberapa akhbar tempatan melaporkan Ahli Parlimen Pekan itu akan menghadapi empat pertuduhan berhubung urusan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Laporan berkenaan mendedahkan bahawa penyiasat SPRM meneliti bagaimana pentadbiran lama menyelesaikan hutang dengan duit cukai dan cuba mengenalpasti pihak yang meluluskan bayaran berkenaan yang dikatakan dibuat tanpa kelulusan Kabinet

Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM turut mendapat izin mendakwa terhadap bekas Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasanah Ab Hamid berhubung isu pecah amanah melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia.

"Hasanah akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari yang sama dan mengikut seksyen yang sama," kata kenyataan itu.

Pada 29 Ogos lalu, beliau ditahan SPRM kerana disyaki terbabit dalam salah guna kuasa dan penyelewengan dana milik kerajaan bagi peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau turut dikaitkan dengan dakwaan menghantar surat kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) yang meminta Amerika Syarikat (AS) terus menyokong pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jika Barisan Nasional (BN) menang mudah atau hanya meraih majoriti satu kerusi dalam PRU-14.