RENTETAN daripada tweet oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib tentang pau yang dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) semalam, kalangan netizen bertindak memuat naik resit belian daripada restoran sama sebelum cukai itu diperkenalkan pada awal bulan ini.

BACA: Pau pun kena SST!

Seorang netizen yang dipercayai tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut mula memuat naik bukti pembayaran bagi pembelian pau di restoran tersebut ketika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan.

Tweet oleh Adrian Lim Chee En @adrianlimcheeen menunjukkan resit pada 28 Januari 2017 di mana belian itu dikenakan GST sebanyak RM1.97, manakala satu lagi resit yang tidak diketahui tarikh dengan nilai GST sebanyak RM1.16.

"Najib jangan buat-buat terkejut! Rupa-rupanya kedai pau Yik Mun Tg Malim yg dikatakan sederhana-kecil ini dikenakan GST sejak zaman dia PM. LOL."


Tweet tersebut mendapat reaksi daripada kalangan netizen yang turut memberikan komen.






Najib semalam meluahkan rasa tidak puas hati beliau apabila sajian pau yang dibelinya di sebuah kedai makanan popular di Tanjung Malim dikenakan SST.

“Berhenti di kedai Pau Yik Mun, Tg (Tanjung) Malim untuk membeli pau. Jelas SST dikenakan walaupun kedai ini sederhana kecil!

“Kedai Pau pun kena SST,” tulis beliau dalam status tersebut.


GST mula diperkenalkan Najib pada 1 April 2015 bagi menggantikan SST.

Namun pelaksanaan GST dimansuhkan pada 1 Jun lalu selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Mei.