Datuk Seri Najib Tun Razak mahu sukan golf bukan hanya menjadi sukan elit malah menjadi sukan setiap lapisan rakyat Malaysia.

Pada masa sama, Perdana Menteri mahu sukan itu didedahkan di peringkat sekolah bagi melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia.

Menurut beliau, kerajaan telah menyalurkan RM2 juta kepada Persatuan Golf Malaysia bagi memastikan sukan terbabit menjadi sukan rakyat.

“Suka saya katakan bahawa saya ingin melihat golf sebagai sukan rakyat dan tidak sepatutnya menjadi sukan elit sahaja sepatutnya sukan rakyat.

“Dan saya fikir kita perlu sentiasa pastikan ia mudah diakses untuk semua rakyat Malaysia di setiap peringkat masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank 2015 di Kuala Lumpur Golf &Country Club pada Ahad.

Sementara itu, pemain golf India, Anirban Lahiri melakar kejutan dengan menjuarai kejohanan tersebut selepas melakukan catatan 4 bawah par 68 pada pusingan terakhir, pada Ahad.

“Kawasan tengah lapangan agak sukar untuk dinavigasi. Saya cuba untuk tangani dan memulakan dengan langkah yang baik dan nasib baik saya telah buat yang terbaik pada peringkat awal.

“Saya kekalkan (momentum) dan letakkan sedikit tekanan kalau tidak pastinya saya tidak ada peluang seperti sekarang. Itulah yang terjadi,” ujarnya pada sidang media selepas sesi penyampaian hadiah.

Memulakan hari keempat dengan ketinggalan lima pukulan di belakang pendahulu hari ketiga, Bernd Wiesberger, Lahiri mempamerkan permainan cukup bertenaga di lapangan KLGCC untuk menamatkan saingan satu pukulan di depan jaguh dari Austria itu.

Lahiri yang berjaya melakukan enam birdie dan dua bogey, hari ini mengesahkan kejuaraan dengan catatan keseluruhan 16 bawah par 272.