Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat permohonan rasmi kepada Mahkamah Tinggi untuk tidak membenarkan Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan dalam kesnya.

Memetik laporan The Star, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata proses pemfailan permohonan itu akan dilakukan dalam tempoh dua minggu lagi.

"Kami mahu menyelesaikan penyelidikan kami terlebih dahulu dan mengumpul semua bahan yang diperlukan.

"Kami akan menyusun semua kenyataan yang dikeluarkannya mengenai klien saya susulan pendakwaan kes," katanya pada Khamis kepada akhbar berbahasa Inggeris itu.

Menurutnya, pasukan peguam bela memerlukan masa untuk mencari semua bahan yang diperlukan dan memfailkan permohonan itu sebaik sahaja dokumen lengkap.

Rabu lalu, Najib didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah keseluruhan RM42 juta.

Bagaimanapun beliau tidak mengaku bersalah atas semua pertuduhan tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pembatalan tersebut, Thomas berkata beliau mahu menunggu permohonan tersebut difailkan pihak lawan dan tidak memberikan komen lanjut.

Sebelum itu, Thomas mendakwa pihak pendakwaan mempunyai kes kuat terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam SRC International.

"Kami membuat kesimpulan bahawa kami mempunyai kes prima facie yang kuat tetapi menerima beban bukti bahawa tertuduh tidak bersalah sehingga terbukti bersalah," katanya.