Satu siasatan dan audit forensik bebas secara menyeluruh perlu dilakukan ke atas akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tanpa sebarang bentuk pengaruh dari mana mana pihak sekalipun, termasuk daripada Kementerian Kewangan.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, siasatan ini mestilah digembelengkan sebagai satu pasukan dan secara kolektif yang meliputi Jabatan Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Bank Negara.

"Menteri Kewangan mesti mengarahkan pembekuan serta penggantungan tugas secara sementara ke atas keseluruhan ahli lembaga pengarah 1MDB, Presiden dan Pengarah Eksekutifnya agar satu siasatan secara bebas, mendalam dan menyeluruh dapat dilaksanakan.

"Perlu tindakan menggantung kerja dan jawatan secara sementara sehinggalah siasatan berakhir yang akan berjaya memulihkan keyakinan rakyat tehadap modus operandi pihak yang terlibat untuk mengendalikan kes ini secara penuh integriti," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Khairuddin mengulas kenyataan Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang memaklumkan 1MDB telah menggunakan sejumlah RM600 juta daripada RM950 juta yang disediakan oleh kerajaan sebagai kredit tersedia sementara sebelum syarikat itu melancarkan tawaran awam permulaan (IPO).

Kata Ahmad Husni, 1MDB dijangka pulih daripada masalah aliran tunai yang dihadapi ketika ini pada penghujung tahun 2015.

Dalam pada itu jelas Khairuddin, situasi seperti yang dicadangkannya amat penting ke arah mencari satu jalan penyelesaian secara terbaik mungkin bagi meyakinkan keseluruhan rakyat agar setiap persepsi negatif terhadap polemik 1MDB dapat diberi pencerahan yang sejelas jelasnya.

"Seandainya satu siasatan terhadap audit forensik akaun 1MDB dilaksanakan secara telus, bebas, menyeluruh dan berintegriti; saya amat yakin rakyat akan dapat menerima apa saja bentuk keputusan tersebut secara hati terbuka tanpa sebarang bentuk ragu-ragu lagi.

"Ini akan memberi satu bentuk keadilan kepada semua pihak dalam isu 1MDB kelak dan bakal melonjakkan semula imej mahupun kredibiliti kerajaan," jelasnya.

Ujarnya lagi, atas dasar inilah, konsep, modus operandi dan struktur siasatan forensik ini mesti dikenal pasti secara tepat dan dilaksanakan secara profesional tanpa sebarang campur tangan dari mana mana pihak yang ada kaitan dengan 1MDB.

"Ini juga penting kerana seandainya isu 1MDB gagal diselesaikan secara telus dan profesional maka yakinilah ianya bakal menarik turun lagi undi dan populariti BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak.

"Saya bercakap atas dasar sayangkan pada parti UMNO dan BN tanpa sebarang bentuk kepentingan peribadi.

"Kadangkala kita mesti berani bercakap secara jujur walaupun telinga tidak suka mendengarnya. Apa yang penting ialah bagaimana kerajaan menangani dan menyelesaikan isu ini tanpa sebarang keraguan lagi di benak hati sanubari rakyat," katanya.

Sementara itu Khairuddin turut mempersoalkan pendirian Kabinet dalam isu membuat satu keputusan secara kolektif untuk tidak membenarkan lagi sebarang bentuk suntikan modal ke dalam 1MDB tetapi dalam masa yang sama Ahmad Husni mengakui bahawa kementeriannya memperuntukkan sejumlah kredit kepada 1MDB.

"Situasi ini membuktikan kepada keseluruhan rakyat bahawa keputusan mesyuarat Kabinet sudah tidak relevan lagi kini.

"Seandainya inilah sikap yang dipamerkan Kementerian Kewangan, maka selepas ini segala perkara tidak perlu dan tidak penting lagi untuk dibincangkan seterusnya mendapat keputusan Kabinet, ia sangat menyedihkan," jelasnya.

Khairuddin merupakan individu pertama yang membuat laporan polis mengenai 1MDB.

Khairuddin pada tahun lepas memaklumkan siasatan terperinci harus dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah kepincangan pentadbiran kewangan yang dihadapi syarikat tersebut.