Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak bersetuju supaya 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memohon pinjaman RM3 bilion daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memberi pinjaman kepada PetroSaudi International Limited (PSI).

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata bagaimanapun beliau tidak pernah berbincang perkara itu dengan Najib pada masa itu.

Beliau berkata, Najib bersetuju untuk 1MDB memberi pinjaman US$750 juta kepada PSI, tertakluk kepada 1MDB mendapatkan pinjaman RM3 bilion daripada Perkeso.

Shahrol Azral berkata demikian ketika dirujuk kepada 'Minit Meeting with the Chairman of Board of Advisors (BOA)' bertarikh 30 Mac, 2011 semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan hari ke-14 kes bekas Perdana Menteri itu membabitkan 1MDB.

Shahrol Azral berkata, dalam minit berkenaan menyatakan Najib juga bersetuju untuk memberi tumpuan kepada projek-projek Maybourne Hotel Group (projek ambilalih hotel di London yang diterajui oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low), SRC International Sdn Bhd dan Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD), kini dikenali sebagai TRX.

"Saya sahkan yang saya tidak pernah berbincang dengan Datuk Seri Najib pada masa itu (berhubung perkara terbabit). Minit mesyuarat berkenaan telah disediakan oleh Jho Low dan telah ditandatangani oleh Datuk Seri Najib.

"Minit mesyuarat itu juga telah diserahkan kepada saya oleh Jho Low, namun saya tidak ingat bila minit itu diserahkan," katanya yang turut memaklumkan bahawa beliau menandatangani minit berkenaan dan menyimpannya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, beliau juga memaklumkan kepada Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB semasa mesyuarat pada 4 April, 2011 bahawa Najib bersetuju untuk 1MDB menambah pelaburan dengan PSI.

"Ingin saya nyatakan bahawa cadangan projek Maybourne Hotel Group ini tidak pernah dirancang atau dibincangkan oleh BOD 1MDB dan saya percaya yang Jho Low cuma mahu menggunakan nama 1MDB untuk bidaan hotel itu," jelasnya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA