Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak telah secara serahan tangan pada 2011 mengemukakan surat permohonan pinjaman berjumlah RM3.95 bilion daripada anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd.

Perkara itu diakui bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Amanah (Diperbadankan) KWAP, Datuk Azian Mohd Noh yang menjawat jawatan itu antara 2007 hingga 2013.

Azian berkata, pada Jun 2011 telah menerima surat daripada Allahyarham Datuk Azlin Alias, yang merupakan bekas pegawai khas kepada Najib.

"Saya kenal Azlin sebagai pegawai khas perdana menteri kerana pernah berurusan dengan dia sebelum ini," katanya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saksi ke-38 prosiding perbicaraan berkaitan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn. Bhd. itu turut membuktikan bahawa surat bertarikh 3 Jun 2011 itu ditandatangani oleh Pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, dan ia juga mempunyai nota tulisan tangan Najib yang mengatakan "Bersetuju dengan cadangan ini".

Menurut Azian, secara jelas permohonan pinjaman sebegitu adalah tidak mengikut prosedur dan syarat yang ditetapkan oleh KWAP.

Beliau bersama pengerusi KWAP, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah telah ke pejabat Najib pada ketika itu untuk memaklumkan bahawa panel pelaburan KWAP memutuskan untuk hanya meluluskan pinjaman RM1 bilion kepada SRC International.

Bagaimanapun, mesyuarat panel pelaburan khas pada Julai 2011 memutuskan untuk meluluskan pinjaman RM2 bilion kepada 1MDB dan bukannya SRC International, dengan syarat pinjaman itu dijamin oleh kerajaan, atau KWAP akan meluluskan pinjaman kepada kerajaan yang akan meminjamkannya kepada SRC International.

Panel pelaburan KWAP yang bermesyuarat pada 22 Mac 2012 turut bersetuju dengan permohonan tambahan RM2 bilion apabila Menteri Kewangan meluluskan pinjaman itu dan menasihati SRC mendapatkan pinjaman tambahan daripada KWAP.

Ia sekali gus menjadikan keseluruhan pinjaman kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

Prosiding ditangguhkan jam 4 petang tadi dan bersambung semula esok.