Kerajaan hari ini menafikan dakwaan yang mengatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy telah memperoleh penyata bank palsu yang bukan milik Bank BSI di Singapura.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar.

“Kenyataan Ahli Yang Berhormat bahawa CEO Arul Kanda mendapat penyata bank yang bukan milik BSI adalah tidak benar,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan dalam sebuah jawapan bertulis di Parlimen pada Khamis.

Najib berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen DAP-Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz yang menanyakan bagaimana Arul Kanda boleh mendapat penyata bank yang bukan milik BSI.

Katanya, penyata itu palsu dan bukan dari BSI, ia ternyata 'falsification of document’ (pemalsuan dokumen) serta boleh mendedahkan 1MDB kepada tindakan undang-undang oleh BSI.

Pada 22 April lalu, Sarawak Report telah mendedahkan bahawa syarikat milik kerajaan, 1MDB didakwa memberikan penyata bank palsu berkaitan akaun anak syarikatnya kepada cawangan Bank BSI di Singapura.

Menurut laman tersebut, bukti menunjukkan BSI menolak dokumen 1MDB mengenai akaun Brazen Sky Limited di Singapura.

Semalam, Najib memaklumkan bahawa baki pelaburan 1MDB yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority sebanyak US$1.103 bilion telah ditebus dengan aset dan bukannya wang tunai.

Katanya, baki pelaburan tersebut ditebus dalam bentuk aset mata wang US$ di BSI.

Sebelum ini, Najib telah memberitahu bahawa baki dana pelaburan 1MDB yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority tersebut telah ditebus dalam bentuk wang tunai.

Menurutnya, dana tersebut masih disimpan dalam mata wang US Dolar di BSI yang bertujuan untuk memudahkan urusan pengeluaran wang.