Tutup

Najib ulangi pendirian mansuh Akta Hasutan

Najib ulangi pendirian mansuh Akta Hasutan
NAJIB: Kerajaan tidak akan membenarkan kebebasan tanpa tanggungjawab terutama dalam soal agama yang dianuti oleh semua rakyat, hak istimewa orang Melayu serta kedudukan raja-raja Melayu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi pendirian pentadbirannya mahu memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional, lapor Bernama.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri perkara berkaitan agama dan bangsa tidak akan diabaikan dalam akta baru itu nanti.

Ini kerana kerajaan tidak akan membenarkan kebebasan tanpa tanggungjawab terutama dalam soal agama yang dianuti oleh semua rakyat, hak istimewa orang Melayu serta kedudukan raja-raja Melayu.

"Kita mesti pertahankan... bukan kata ada (undang-undang) yang baharu ini, semua kita ketepikan... tetapi kita akan masukkan peruntukan-peruntukan yang lebih sesuai," katanya seperti dipetik oleh Bernama.
Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerlun di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di Jerlun, Kedah.

Menurut Najib, setiap kebebasan dan keterbukaan ada batasnya dan terikat kepada prinsip kebertanggungjawaban sebagai asas pertimbangan yang matang termasuk di media sosial.
Katanya, kerajaan memberi ruang kepada rakyat untuk bersuara termasuk menegur pemimpin tetapi harus ada batas, jangan sampai merosakkan keamanan dan keharmonian negara.

"Saya nak beri amaran, sesiapa cuba menggugat keamanan, undang-undang sedia ada akan digunakan. Perkara ini memang dikuatkuasakan," katanya.

Kenyataan ini Najib ini menyusul siasatan dan pendakwaan ke atas beberapa pemimpin politik Pakatan Rakyat di bawah Akta Hasutan 1948 sejak dua minggu lalu. Pada minggu ini, pensyarah Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Azmi Sharom didakwa di bawah akta yang sama manakala wartawan Malaysiakini, Susan Loone ditahan untuk siasatan dan kemudian dibebaskan pada Khamis.

Pada Jumaat, bekas pemimpin mahasiswa, Safwan Anang dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur setelah sabit tuduhan menghasut berhubung satu ucapan pada 13 Mei 2013.

Najib pertama kali membuat pengumuman memansuhkan akta itu dalam satu ucapan pada Julai 2012.

"Peruntukan yang dicadangkan dalam Akta Keharmonian Nasional ini akan memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama," katanya ketika itu.